Kerajaan Tidak Seharusnya Membenarkan Lagi Pengeluaran KWSP, Simpanan Persaraan Adalah Penting

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata tidak perlu ada lagi skim pengeluaran daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ahlinya mencapai umur persaraan 60 tahun.

Ini bagi memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi di hari persaraan nanti. Dalam kenyataan semalam, MEF berkata pihaknya amat bimbang akan pengeluaran daripada simpanan ahli KWSP baru-baru ini.

Skim pengeluaran melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion mendedahkan ahli kepada risiko tergolong dalam kemiskinan hari tua.

Ketika ini, sebanyak 48 peratus daripada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan yang amat rendah.

“Kerajaan tidak seharusnya membenarkan lagi pengeluaran. Bagi menambah simpanan KWSP, ahli yang membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka perlu bekerja selama empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sepanjang tempoh COVID-19,” kata Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata berdasarkan umur persaraan yang dijangka tidak dinaikkan, pekerja tersebut tidak akan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk persaraan mereka.

“Dengan Malaysia mencapai jumlah penduduk yang semakin berusia menjelang 2030 dan dalam semangat sebenar Keluarga Malaysia, kerajaan turut bertanggungjawab untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang normal.”

“Kerajaan perlu memikirkan skim lain untuk membantu mereka daripada mengeluarkan simpanan KWSP yang bertujuan untuk keperluan hari tua.”

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca