Kerajaan Pertimbang Untuk Bawa Balik Pelajar IPT Dengan SOP Yang Ketat

Terdahulu, berbangkit isu tentang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mahu pulang ke rumah sehingga ia menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet.

Hari ini, kerajaan telah sedia untuk membenarkan pelajar yang masih berada di kampus universiti untuk pulang ke kampung halaman.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, pergerakan pulang itu perlu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk saringan kesihatan.

Menurutnya, pertimbangan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati tiada kluster COVID-19 di kampus dan pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan sehingga kini.

“Kita faham ibu, bapa dan pelajar rasa tertekan kerana begitu lama berada di kolej dan kampus masing-masing. Ramai yang merayu untuk pulang ke kampung. Mesyuarat Kabinet sebelum ini membuat keputusan mereka terus tinggal di kampus hingga dapat nasihat KKM.

Hari ini, kita telah mendapat pandangan KKM. Mereka yang berada di kampus lebih 28 hari, jika mereka dikuarantin dan tidak bergejala maka mereka tiada jangkitan COVID-19.

Jadi kita bincang tadi bahawa ada kemungkinan kita boleh benarkan mereka pulang tetapi kita perlu SOP yang ketat kerana tak mahu mereka pulang secara besar-besaran.

Kita nak mereka pulang ke kampung ikut SOP yang ketat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Susulan itu, KKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berbincang untuk memastikan proses penghantaran mereka berjalan dengan lancar.

“KPT dan KKM akan bekerjasama mengenai cara membawa pulang pelajar ini bagi memastikan ibu bapa tidak lagi risau mengenai anak mereka. Maklumat lanjut mengenai SOP akan dilihat secara teliti kalau dibenarkan pulang,” ujarnya.

Apa-apa pun, diharapkan kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu para pelajar yang terkandas tanpa merisikokan mereka. Orang ramai dinasihati untuk sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca