Kerajaan Melaksanakan Pelbagai Inisiatif Untuk Membantu Rakyat Miliki Rumah Pertama

Isu pemilikan rumah di Malaysia masih belum menemui penyelesaiannya. Meskipun, pelbagai skim bantuan perumahan diperkenalkan tetapi ia tetap belum mampu menangani isu ini. Dengan berpandukan rekod The Edge Property, golongan rakyat Malaysia yang berpendapatan pertengahan mampu untuk memiliki rumah pada harga RM260,000 namun purata harga rumah di Malaysia jauh melepasi angka tersebut.

Menurut Berita Harian, data daripada Kementerian Kewangan menyatakan bahawa harga purata untuk semua rumah di Malaysia adalah sebanyak RM204,470 pada suku pertama 2009, namun meningkat kepada RM409,899 pada suku keempat 2017.

Walau bagaimanapun, Kuala Lumpur mencatakan harga purata tertinggi iaitu RM798,011 manakala Selangor pula adalah sebanyak RM469,518 dan diikuti oleh Sabah, Pulau Pinang dan Sarawak pada harga RM426,243. Seterusnya, negeri yang mencatat harga purata yang paling rendah pula ialah Kelantan iaitu sebanyak RM165,853.

Harga rumah meningkat

Menurut Berita Harian lagi, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kenyataan antara punca utama ketidakmampuan rakyat memiliki rumah adalah disebabkan oleh kenaikan pendapatan isi rumah tidak sepadan dengan kenaikan harga rumah. Hal ini dapat dilihat dari tahun 2012 hingga 2014. Harga rumah telah meningkat sebanyak 26.5% berbanding pendapatan isi rumah yang hanya meningkat sebanyak 12.4%.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 lalu, kerajaan memperuntukkan hampir RM1.5 billion untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

Di samping itu, beberapa bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana turut disediakan untuk memiliki rumah buat pertama kali seperti pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama. Hal ini boleh membantu mengurangkan beban terhadap para graduan dan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah pertama.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, inisiatif sebegini sangat penting daripada pihak kerajaan dalam membantu golongan yang berpendapatan rendah serta golongan yang memerlukan dalam mencapai impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Sumber: Berita Harian

Artikel Lain Untuk Di Baca