Kerajaan Johor Berminat Untuk Membeli Legoland

Kerajaan Negeri Johor tidak menolak kemungkinan membeli Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia) jika Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersedia memberi tawaran menarik.

Bagaimanapun, cadangan itu bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Media sebelum ini melaporkan Khazanah tidak menolak sebarang cadangan penjualan aset sedia ada miliknya termasuk Legoland jika ia mampu memberi pulangan nilai lebih baik pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, hasil penjualan daripada aset berpotensi dan memiliki nilai pasaran baik berupaya memberikan Khazanah modal baharu untuk meneroka cabang pelaburan lain yang berupaya memberikan keuntungan lebih tinggi.

Memetik laporan Bloomberg, sayap pelaburan kerajaan itu sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245 juta), termasuk hutang.

Legoland merupakan taman bertemakan Lego yang pertama di Asia dengan kawasan seluas lebih 50 padang bola sepak dengan lebih daripada 15,000 model Lego diperbuat daripada 60 juta kepingan Lego.

Mengulas lanjut, Wee Tse berkata, walaupun terkejut dengan laporan media kerana pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, beliau menganggapnya sebagai amalan biasa perniagaan.

“Perkara ini normal, peranan Iskandar Investment Bhd (IIB) (syarikat pegangan Khazanah yang memiliki Legoland) adalah untuk melabur dan menjayakan projek pembangunan dan apabila ia sudah berjaya mereka tiada peranan lagi. Ini sebahagian penstrukturan semula korporat.

“Siapa pun syarikat yang memiliki Legoland selepas ini, kita yakin taman tema ini akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca