Keputusan Kes Bunuh Pelajar UPNM, Zulfarhan Bakal Diketahui Hari Ini

Setelah dibicarakan atas kematian seorang Pegawai Kadet Laut iaitu Zulfarhan Osman Zulkarnain pada dua tahun lalu, nasib 19 orang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sama ada mereka perlu membela diri atau dibebaskan bakal diketahui hari ini.

Keputusan berhubung insiden tersebut akan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu Datuk Azman Abdullah selepas selesai mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan dalam perbicaraan yang bermula pada Januari 2018.

Pihak mahkamah juga telah mendengar hujahan pasukan pendakwaan dan hujahan balas barisan peguam bela pada 8 Julai lalu.

Pada 10 November 2017, enam daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada masa yang sama, mereka yang kesemuanya berusia 23 tahun bersama 13 lagi tertuduh lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa semata-mata untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Bagi pertuduhan tersebut, ia dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Astro Awani, barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dhillon, A.G. Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Datuk Seri M. Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.

Setiap kali prosiding perbicaraan berlangsung, galeri awam mahkamah akan dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa seawal jam 8.30 pagi lagi.

Tragedi yang menimpa Zulfarhan Osman di mana arwah didera rakan sepengajian dengan kesan lecur 80 peratus sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 mendapat perhatian seluruh negara.

Mangsa dipercayai diperlakukan sedemikian rupa gara-gara dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca