Keputusan Kebenaran Solat Jumaat Dan Ibadah Haji Diputuskan Khamis Ini

Kerajaan akan membuat keputusan adakah solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan diadakan di masjid seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan tersebut akan diumum pada Khamis ini selepas perbincangan dilakukan bersama pihak yang berkenaan.

“Kita buat perbincangan secara khusus dengan pihak berautoriti dan ada kena mengena dengan dasar yang ingin diputuskan. InsyaAllah pada Khamis ini kita akan umumkan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai nasib 31,000 bakal jemaah haji, beliau menyatakan bahawa kerajaan akan membuat keputusan pada Khamis ini juga.

“Berkenaan haji pun sama. Kita akan umumkan hari Khamis ini,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan PKPP bagi menggantikan PKPB dalam strategi negara memerangi COVID-19.

PKPP menyaksikan hampir keseluruhan sekatan yang dibuat sebelum ini seperti rentas negeri, sektor pelancongan dan juga sektor perkhidmatan telah dibuka semula.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan hanya tujuh kes positif COVID-19 di negara ini direkodkan. Ia merupakan angka terendah pernah dicatatkan sejak gelombang kedua wabak ini melanda negara pada Mac lalu.

Diharapkan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk semua pihak. Semoga kita dapat membiasakan kehidupan norma baharu dan mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan dalam usaha untuk memerangi COVID-19.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca