Keputusan Inkues Kematian Muhammad Adib Bakal Diketahui Bulan Depan

Mahkamah Koroner telah menetapkan 27 September depan sebagai tarikh keputusan prosiding inkues kematian anggota bomba iaitu Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Koroner Rofiah Mohamad, mahkamah secara rasmi sudah menutup prosiding inkues tersebut.

“Selepas meneliti semua, tiada apa-apa lagi untuk diteruskan. Mahkamah menetapkan tarikh keputusan pada 27 September, jam 10 pagi,” katanya.

Pada 24 Julai lalu, Rofiah menetapkan menutup prosiding inkues punca kematian Muhammad Adib selepas ia berjalan selama 41 hari.

Keputusan tersebut sekali gus menolak permohonan Pegawai Pengendali kes iaitu Faten Hadni Khairuddin yang mencadangkan supaya seorang lagi saksi patologi dipanggil.

Difahamkan, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi yang sedia ada.

Untuk rekod, seramai 30 orang saksi termasuk beberapa saksi pakar sudah dipanggil memberi keterangan sewaktu prosiding inkues bermula 11 Februari lalu.

Muhammad Adib yang juga merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca