Keputusan Batal Pingat Emas Kekal, Ziyad Zolkefli Mohon Maaf

Muhammad Ziyad Zolkefli memuat naik permohonan maaf kepada rakyat Malaysia di laman Instagram selepas kemenangan beliau dalam acara lontar peluru lelaki F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan semalam. Ziyad turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan kepada beliau.

Sumber: Instagram @ziyadzolkefli

Dalam pada itu, tinjauan kami di laman Instagram mendapati rata-rata warganet termasuk rakan-rakan atlet memberikan kata-kata semangat kepada Ziyad.

Sumber: Instagram @ziyadzolkefli

Kejayaan Ziyad meraih pingat emas dan memecahkan rekod dunia semalam ‘dirompak’ selepas protes yang dilakukan kem Ukraine berdasarkan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 (Failure To Report To The Call Rooms).

Ukraine melakukan protes selepas mendakwa tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) lewat memasuki pusat panggilan (call room) sebelum pertandingan dimulakan.

Untuk pengetahuan anda, atlet yang terlambat memasuki pusat panggilan boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri ataupun dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan pengadil mengenai kesalahan kelewatan melaporkan diri ke pusat panggilan tersebut.

Sekiranya kesalahan tersebut dilakukan, keputusan akan direkodkan sebagai Did Not Start (DNS). Walau bagaimanapun, situasi yang dihadapi Ziyad agak berbeza kerana beliau telah pun menamatkan saingan dan diangkat sebagai juara.

Sumber: BH Online

Walaupun Ziyad telah memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter, pihak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mengesahkan ketiga-tiga atlet berkenaan menerima status DNS menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi acara lontar peluru lelaki F20 semalam.

Keputusan rasmi kemudiannya menyaksikan atlet Ukraine iaitu Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter memenangi emas dan memecahkan rekod dunia manakala rakan senegaranya iaitu Oleksandr Yarovyi membawa pulang pingat perak. Gangsa pula dimiliki atlet dari Greece iaitu Efstratios Nikolaidis.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan iaitu Ti Lian Ker menjelaskan menerusi satu hantaran di laman Facebook bahawa Ziyad bersama dua atlet lain terlambat memasuki pusat panggilan kerana hujan dan keadaan kawasan itu agak padat dengan atlet-atlet dari acara berbeza dan pada ketika itu, mereka didakwa telah lewat melaporkan diri. Anda boleh baca penjelasan penuh Lian Ker di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca