Kepulauan Di Brazil Ini Hanya Terima Kunjungan Pelancong Positif COVID-19

Salah satu destinasi pelancongan paling indah di dunia, kepulauan Fernando de Noronha yang terletak dekat Brazil ini diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2001.

Sama seperti kebanyakan tempat tumpuan pelancong di seluruh dunia pada tahun 2020, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk.

Namun, apa yang membezakan Fernando de Noronha ini dengan destinasi-destinasi pelancongan lain adalah ia hanya menerima kunjungan individu yang pernah disahkan positif COVID-19 dan telah pulih daripada wabak tersebut.

Menurut pegawai pentadbir pulau iaitu Guilherme Rocha, “Pelancong perlu menunjukkan hasil ujian positif yang diambil dalam tempoh 20 hari atau hasil ujian serologi yang menunjukkan individu berkenaan mempunyai antibodi COVID-19.” 

Rocha bagaimanapun tidak memberi penjelasan secara terperinci kenapa mereka hanya akan menerima pelancong dalam kalangan bekas pesakit COVID-19.

Untuk pengetahuan anda, ujian polymerase chain reaction (PCR) akan mengesan kehadiran virus COVID-19 di dalam badan pesakit. Ujian serologi pula menunjukkan sama ada terdapat antibodi terhadap COVID-19 dalam badan pesakit.

Sementara itu, kepulauan terkenal yang mempunyai 21 pulau gunung berapi ini tidak menerima kunjungan pelancong sejak pertengahan Mac kerana penularan wabak tersebut.

Brazil telah mencatatkan 3,910,901 kes positif COVID-19 manakala 121,515 tewas kepada wabak tersebut sehingga ke hari ini.

Untuk membaca artikel-artikel berkaitan COVID-19 di Brazil, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca