Beberapa hari yang lepas, kemalangan tragik yang menimpa pelakon televisyen Korea, Han Ji-Seong yang sekali gus meragut nyawanya itu mengejutkan semua peminat.
Menurut suami kepada Han, pelakon berusia 28 tahun itu memberhentikan kereta yang dipandunya di tengah-tengah lebuh raya berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon selepas dia (suami) mahu ke tandas.
Pada masa yang sama, suaminya mendakwa bahawa Han telah keluar daripada kereta Mercedes miliknya itu dan berada di belakang kenderaan sebelum dirempuh sebuah teksi dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Walau bagaimanapun, kemalangan tragik itu menimbulkan tanda tanya daripada semua pihak apabila rakaman kamera dashboard sebuah kereta menunjukkan apa sebenarnya terjadi di mana ia sama sekali bercanggah dengan apa yang diperkatakan oleh suami Han.
Sebelum ini, lelaki berkenaan mengatakan bahawa dia sendiri keliru dengan tindakan isterinya itu yang memberhentikan kenderaan di tengah-tengah laluan lebuh raya yang sesak setelah memberitahu mahu pergi ke tandas.
Menurutnya lagi, ketika kejadian, dia tiada di lokasi dan hanya mendapat tahu tentang insiden itu selepas selesai dengan urusannya di tandas.
Kenyataan itu sememangnya bercanggah dengan rakaman kejadian yang menunjukkan tragedi malang berkenaan berlaku hanya 10 saat selepas dia menyeberangi lebuh raya itu.
Sebelum ini, orang ramai mengeluarkan pelbagai spekulasi mengenai kemalangan ini. Rata-rata mendakwa pelakon berkenaan berkemungkinan sedang berada di bawah pengaruh dadah kerana tindakannya yang tiba-tiba sahaja memberhentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya yang sibuk itu.