Kenapakah Idea-Idea Menarik Selalu Muncul Ketika Kita Sedang Mandi?

Percaya atau tidak, sebahagian besar daripada manusia selalunya akan mendapat idea-idea baru dan menarik ketika sedang mandi. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu sedang mencari solusi bagi sesuatu masalah, ada kalanya mereka akan mendapat jawapan kepada persoalannya itu ketika sedang mandi.

Mungkin perkara ini tidak dialami oleh semua manusia tetapi boleh dikatakan majoriti pernah melalui saat ini. Menurut satu kajian, sekitar 72% manusia selalunya akan mendapat idea bernas atau ilham ketika sedang mandi.

Otak manusia dipercayai akan melahirkan idea yang kreatif apabila mengalami salah satu daripada perkara berikut:

1. Penghasilan dopamine di otak. Kadar pelepasan dopamine ini akan meningkat apabila seseorang itu sedang melakukan aktiviti seperti mendengar muzik dan mandi.

2. Berada dalam keadaan tenang. Otak akan dapat berfikir dengan lebih mendalam apabila seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Dalam hal ini, otak manusia yang berada dalam keadaan tenang ketika mandi menjadi punca bagaimana ia mampu melahirkan idea yang kreatif. Bukan itu sahaja, persekitaran bilik mandi yang santai juga secara tidak langsung membolehkan minda bergerak dengan bebas tanpa sebarang gangguan.

Rasanya semua orang tahu bahawa otak manusia itu merupakan satu organ yang sangat kompleks. Setiap bahagian otak mempunyai fungsinya yang tersendiri. Bahagian otak yang berfungsi dalam menghasilkan idea-idea kreatif ketika seseorang itu sedang mandi dikenali sebagai prefrontal cortex.

Skop pemikiran akan menjadi kecil apabila seseorang itu sedang berfikir tentang sesuatu perkara kerana otak akan menjadi terlalu fokus dalam mencari penyelesaian atau jawapan terhadap perkara yang difikirkan tadi.

Apabila anda sedang berehat atau melakukan perkara yang tidak produktif seperti mandi pula, otak akan berada dalam keadaan tenang di mana ia membolehkan korteks meneroka dan berfikir secara luas. Dengan ini, lahirlah idea-idea kreatif tersebut.

Ada kalanya, idea-idea kreatif yang diperoleh sewaktu sedang mandi ini menjadi sia-sia kerana kita akan terus lupa akan idea tersebut tidak lama selepas itu. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, anda semua dinasihatkan supaya mencatat kesemua idea yang muncul sebaik sahaja selesai mandi.

Salah satu perkara yang boleh anda semua amalkan adalah dengan membawa buku nota kecil ke mana sahaja anda pergi. Dengan ini, anda boleh mencatat sebarang idea yang muncul pada bila-bila masa sahaja.

Benda ini juga dipraktikkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang sentiasa membawa buku nota kecil ke mana-mana sahaja bagi menulis idea yang terlintas di fikiran agar ia tidak berlalu begitu sahaja. Mulai hari ini, jika anda belum berbuat demikian, bolehlah mula sekarang!

Artikel Lain Untuk Di Baca