Pernahkah anda mendengar tentang kuasa sesebuah jenama? Jenama yang kuat akan sentiasa tersemat di hati para pengguna sehinggakan ada yang menyebutnya untuk merujuk kepada sesuatu produk. Contohnya, “Aku nak masak Maggi lah untuk makan malam nanti” walhal apa yang dimasak bukannya Maggi tetapi mi segera jenama lain. Sedar tak sedar, anda secara tidak langsung telah membuat pemasaran percuma bagi pihak syarikat Nestlé.
Pernahkah anda semua terfikir kenapa tak sebut, “Aku nak masak Cintan” padahal ia juga merupakan salah satu jenama untuk mi segera. Ini telah membuktikan betapa hebatnya jenama Maggi itu sendiri sehingga majoriti memilih untuk menyebutnya berbanding dengan mi segera jenama lain. Pengguna akan menyebut Maggi untuk merujuk kepada semua produk mi segera kerana ia telah menjadi kebiasaan dan digunakan dalam kehidupan seharian.
Terdapat juga jenama-jenama lain yang disebut untuk merujuk kepada sesuatu produk. Berikut merupakan 6 produk dan jenama lain yang sudah menjadi sebutan masyarakat selama beberapa generasi:
1. Pampers
Lampin pakai buang sering kali disebut sebagai Pampers. Ramai yang tidak tahu bahawa Pampers itu sebenarnya nama kepada satu jenama yang dipasarkan oleh Procter & Gamble.
2. Tupperware
Tupperware merupakan sesuatu yang tidak asing lagi terutamanya kepada golongan mak-mak. Tahap obses mereka terhadap Tupperware adalah misteri besar yang menghantui kehidupan para suami dan anak-anak.
Sebenarnya, Tupperware merupakan jenama bagi bekas makanan. Namun, ramai yang menyebutnya sebagai Tupperware walaupun ia merupakan bekas makanan jenama lain. Betapa hebatnya penangan jenama Tupperware ini!
3. Clorox
Apabila baju terkena kotoran, pasti Clorox yang dicari walaupun pada hakikatnya, jenama lain yang digunakan. Nama sebenar produk ini adalah peluntur (bleach) manakala Clorox itu merujuk kepada jenama peluntur berkenaan.
4. Panadol
Apabila seseorang itu pening kepala atau demam, pasti Panadol yang akan dicari. Sebenarnya, ubat tersebut adalah paracetamol manakala Panadol itu merupakan jenamanya. Banyak lagi jenama lain bagi paracetamol termasuklah Uphamol dan Calpol.
5. Milo
Milo merupakan jenama bagi minuman malt coklat yang menjadi kegemaran ramai. Banyak lagi jenama yang mengeluarkan produk minuman ini termasuklah Ovaltine dan Vico. Namun begitu, jarang sekali kita dengar ia dipanggil dengan nama lain selain Milo.
6. Ridsect
Apabila ingin membunuh nyamuk atau lipas, pasti Ridsect yang akan dicari. Ridsect ini sebenarnya merupakan jenama bagi racun serangga aerosol. Antara jenama lain yang mengeluarkan produk ini adalah Shieldtox dan Baygon.
Terdapat banyak lagi jenama lain yang sering kali disebut untuk merujuk kepada sesuatu produk. Antaranya termasuklah Listerine yang merupakan jenama bagi produk cecair kumur mulut serta Ajinamoto iaitu jenama bagi produk penambah perisa.
Jadi, apa pendapat anda semua? Hebat bukan penangan jenama-jenama ini?