Kenapa Malaysia Jadi Lokasi Pertembungan China Dan Amerika Syarikat?

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Amerika Syarikat telah mengerahkan dua kapal perang iaitu USS America dan USS Bunker Hill ke Laut China Selatan pada April lalu.

Ia dikatakan berpunca daripada sebuah kapal kepunyaan China yang berada berdekatan dengan sebuah kapal eksplorasi yang dikendalikan oleh Petronas iaitu West Capella selama beberapa hari.

Kami kongsikan punca Malaysia menjadi lokasi pertembungan China dan Amerika Syarikat menerusi artikel ini:

Haiyang Dizhi 8 ceroboh masuk perairan berkali-kali

The Haiyang Dizhi 8. Photo: Weibo
Sumber: SCMP

Kapal kepunyaan China iaitu Haiyang Dizhi 8 mula menguasai perairan Malaysia dan turut diekori oleh 10 buah kapal lain termasuk kapal milik pasukan militia lautan China dan pengawal lautan. Kejadian sama melibatkan kapal ini pernah berlaku di Vietnam tahun lalu.

Jabatan Negara Amerika Syarikat mendakwa China telah mengambil kesempatan di tengah-tengah situasi pandemik COVID-19 untuk ‘membuli’ negara luar.

China bagaimanapun menyifatkan kemasukan Haiyang Dizhi 8 adalah untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan bagi mengkaji gerakan seismik di kawasan berkenaan.

Malaysia mendapat sokongan kerajaan Amerika Syarikat

USS Bunker Hill. Sumber: USNI News

Jurucakap tentera Amerika Syarikat menyifatkan bantuan mereka sebagai satu tanda sokongan untuk menjaga kebebasan navigasi lautan yang mematuhi ketetapan prinsip sempadan antarabangsa yang sudah dipersetujui semua. 

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Dato’ Mohd Zubil Mat Som juga mengesahkan Haiyang Dizhi 8 telah menceroboh perairan Malaysia tetapi beliau tidak tahu tujuan sebenar kehadiran kapal tersebut.

Para penganalisis juga berpendapat tindakan kerajaan Amerika Syarikat itu bukanlah atas permintaan Malaysia tetapi ia adalah inisiatif mereka untuk menekan kembali pengaruh China.

Kenapa isu ini menjadi bualan ramai?

Usaha China untuk meluaskan sempadan mereka dipercayai bermula dengan pembukaan bandar Sansha pada tahun 2012 yang didakwa telah menceroboh sempadan Vietnam. 

Selain itu, kerajaan China juga menukarkan kawasan tersebut menjadi sebuah pekan kecil dengan membina landasan kapal terbang bukan komersial dan pelabuhan untuk membenarkan kapal berlabuh.

Kerajaan pimpinan Xi Jinping turut mengumumkan pembukaan dua buah unit pentadbiran baharu pada 18 April 2020 iaitu daerah Xisha dan Nansha untuk mentadbir kawasan-kawasan yang menjadi rebutan banyak negara. 

Pengumuman itu menerima tentangan ramai kerana ia dilihat sebagai satu usaha China untuk melukis semula garis sempadan antarabangsa yang sedia ada.

Penulis:

  • Nur Syuhada binti Mohammad Yusof adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan konflik antara China dan Amerika Syarikat, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca