Kenapa Jururawat Di Malaysia Dipanggil ‘Misi’? Jom Baca Asal Usul Bagaimana Wujudnya Panggilan Ini

Pasti ramai pembaca di sini yang pernah mendengar sesetengah orang memanggil jururawat dengan panggilan ‘Misi’. Nama panggilan ini sangat popular terutamanya dalam kalangan orang yang lebih berusia. Jarang kita dengar atuk atau nenek kita panggil mereka sebagai jururawat atau nurse. Pasti nama ‘Misi’ juga yang keluar daripada mulut mereka.

Panggilan itu sememangnya dianggap sebagai panggilan mesra buat jururawat di Malaysia. Namun, dari mana datangnya panggilan itu? Apakah asal usul kewujudan panggilan ‘Misi’?

Berikut kami kongsikan kisah di sebalik asal usul panggilan Misi yang dikongsi oleh laman Facebook Bahagian Kejururawatan, Kementerian Kesihatan Malaysia:

Mungkin ramai yang tidak tahu kenapa seorang jururawat secara umumnya dipanggil atau dikenali sebagai ‘Misi’ oleh orang ramai. Bukan sahaja di luar bandar malah di bandar sekalipun jururawat tetap dipanggil ‘Misi’.

Menurut seorang pesara jururawat, Anne Frances, tiada siapa yang betul-betul tahu dari mana asal usulnya panggilan ‘Misi’ di dalam profesion kejururawatan tempatan atau kenapa jururawat dikenali sebagai ‘Misi’.

Di Malaysia, panggilan ‘Misi’ terhadap seorang jururawat mungkin muncul pada zaman penjajahan oleh pihak British.

Dalam bahasa Inggeris, ‘Missy’ merupakan panggilan terhadap wanita muda atau anak gadis. Pada zaman kolonial, doktor British akan memanggil jururawat muda sebagai ‘Missy’. Ia merupakan satu cara yang sopan bagi menyapa seorang jururawat yang anda tidak tahu namanya.

Jadi di hospital ketika itu, adalah perkara biasa bagi kita memanggil jururawat sebagai ‘Missy’ tidak kira siapa namanya yang sebenar.

Penduduk tempatan termasuk masyarakat Melayu kemudian menjadi serasi dengan panggilan ini yang kemudian bertukar menjadi ‘Misi’ sehinggalah ke hari ini.

Menarik kan kisah di sebalik panggilan ‘Misi’ ini? Apa-apa pun, Selamat Hari Jururawat Sedunia kami ucapkan kepada semua jururawat di luar sana!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca