Kenali Santapan Pagi Raya Di Serata Dunia

Bagi rakyat Malaysia, antara perkara pertama yang sering dicari pada pagi raya sudah semestinya juadah raya. Ketupat, rendang, lemang, kuah kacang, lodeh dan serunding.

Belum termasuk kuih raya seperti kuih tart nenas, kuih makmur, Almond London, cornflakes madu dan macam-macam lagi. Sebut sahaja semua, pasti dapat menimbulkan rasa semangat untuk beraya.

Kita sudah terbiasa dengan hidangan-hidangan yang cukup terkenal di Malaysia ini tapi pasti ramai yang antara kita tak pernah terfikir tentang lauk-pauk yang dihidangkan di serata dunia pada hari raya yang pertama.

Tajine

Sumber: DZ Breaking

Hidangan tajine ini merupakan hidangan yang boleh didapati di bahagian utara negara-negara Afrika, terutamanya di Algeria dan Maghribi. Kebiasaannya, tajine akan dimakan dengan roti dan juga kentang goreng.

Tajine ialah sejenis hidangan stew daging lembu atau kambing, ikan atau ayam yang dimasak dengan pelbagai jenis rempah ratus seperti kulit kayu manis, saffron, kunyit serta halia bersama kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti aprikot dan plum.

Sejarah penghasilan tajine yang juga dikenali sebagai maraq di negara Timur Tengah dikatakan bermula sejak zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid yang kini telah berkembang sehingga ke Maghribi dan menjadi santapan istimewa bagi masyarakat di sana.

Nama sajian ini diambil daripada perkakas dapur atau periuk tanah liat yang digunakan untuk menyediakan hidangan tajine ini.

Manti

Sumber: Rehlat

Santapan berbentuk ladu atau dumpling ini sangat terkenal bagi masyarakat Islam di Russia walaupun ia sebenarnya berasal dari negara China.

Manti diperbuat daripada doh yang dijadikan sebagai ladu dan berintikan daging lembu atau kambing yang dimasak bersama rempah ratus.

Hidangan ini kebiasaannya akan disajikan bersama sos khas ataupun mayonis.

You Xiang

Sumber: Traveling Yuk

You Xiang yang memberi maksud ‘wangian minyak’ ini merupakan sejenis kek atau roti yang sering disediakan oleh kumpulan etnik Hui setiapkali menjelangnya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Hidangan ini diperbuat menggunakan bahan-bahan seperti tepung, yis, garam serta minyak dan disajikan sebagai hidangan sampingan untuk hidangan utama seperti sup jeli dan hidangan kambing.

Walaupun bahan-bahan yang digunakan adalah ringkas, tetapi proses pembuatan you xiang ini sangat penting kerana memerlukan perancangan yang rapi dari segi jumlah dan sukatan yang tepat bagi menghasilkan hidangan ini dalam kuantiti yang banyak.

Sebelum memulakan pembuatan you xiang ini, tukang masak haruslah melakukan beberapa amalan tertentu seperti membersihkan diri dan menyalakan lilin sebagai tanda proses pembuatan sajian ini telah bermula.

You xiang ini kemudiannya akan digoreng dan dibungkus secara berpasangan dalam sebuah bungkusan hadiah untuk diberikan kepada para tetamu. Jumlah pemberian you xiang ini boleh melebih daripada dua tetapi haruslah berangka genap.

Doro Wat

Sumber: Cooking Channel

Berbeza dengan tajine, sajian doro wat ini ialah sejenis hidangan kari atau stew yang menggunakan ayam sebagai bahan protein utamanya.

Doro wat juga kebiasaannya akan diletakkan di atas roti nipis Afrika, sejenis roti sourdough yang digelar injera beserta dengan salad, sayuran atau kekacang.

Paling istimewa tentang hidangan raya dari Ethiopia ini, telur rebus akan diletakkan di atas kuah doro wat apabila ia sudah hampir masak.

Tufahija

Sumber: Astoria Cafe & Bakery

Tufahija ini sering menjadi hidangan yang digemari oleh orang Bosnia pada setiap pagi Hari Raya Aidilfitri.

Membawa maksud epal atau tuffaha yang berasal dari bahasa Arab, hidangan pencuci mulut ini diperbuat daripada epal yang telah disumbatkan dengan kekacang seperti kacang walnut.

Epal ini kemudiannya akan dicarak di dalam air sirap gula yang manis yang akan menyerap ke dalam buah tersebut, menghasilkan sebuah hidangan yang manis.

Hidangan manis ini juga sering disajikan bersama krim putar atau sirap sebagai pelengkap kepada hidangan tersebut dan dihidangkan dalam sebuah gelas yang besar.

Cambaabur

Sumber: My Somali Food

Sajian lempeng yang lebih dikenali sebagai cambaabur atau Eid Bread ini sering menjadi juadah pilihan bagi masyarakat Muslim di Somalia pada Aidilfitri.

Kebiasaannya, lempeng atau roti ini akan disediakan dua hari sebelum hari raya.

Cambaabur ini diperbuat daripada adunan tepung bersama bahan-bahan seperti serbuk kunyit, yis, bawang putih, bawang besar, gula dan juga habbatus sauda sebelum diperap untuk beberapa jam untuk menaikkan doh.

Setelah siap dibakar, hidangan cambaabur ini akan digandingkan bersama minyak sapi cair, yogurt mahupun serbuk gula di atasnya, mengikut citarasa masing-masing.

Variasi rasa daripada cambaabur ini dapat memberikan kegirangan kepada masyarakat Somalia yang menyambut bulan Syawal ini.

Kahk

Sumber: Middle East Eye

Masyarakat Islam di Sudan dan Mesir sering menghidangkan kahk, sejenis biskut bulat yang disaluti dengan gula serbuk pada hari pertama bulan Syawal.

Kahk atau turut digelar Ka’ak al’Eid ini merupakan biskut yang mempunyai inti yang berbeza seperti agameya iaitu sebuah pes campuran antara madu, kekacang dan minyak sapi, inti badam, kacang pistachio, kurma atau boleh dimakan kosong sahaja.

Golongan wanita Sudan dan Mesir seringkali berkumpul bersama untuk menyediakan kahk ini, melambangkan kemuafakatan mereka dalam meraikan hari yang mulia.

Hidangan kahk ini bukan sahaja disajikan pada perayaan Aidilfitri, tetapi juga menjadi hidangan kepada masyarakat yang meraikan Krismas.

Cara penyediaan kahk ini merupakan salah satu perkara yang penting dan istimewa dalam kebudayaan masyarakat di Sudan dan Mesir.

Uniknya juadah kahk ini, corak-corak di atas biskut ini mempunyai corak tertentu dan berbeza, bergantung kepada si pembuat hidangan ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca