Kenali Pokok Kapal Terbang, Ini Ubatan Kampung Yang Jarang Didengari

Jangan fikir pokok ini sama dengan kapal terbang yang terbang di langit kerana ia sama sekali tidak serupa. Pokok ini sama seperti pokok-pokok yang biasa kita lihat. Apa yang membezakannya hanyalah bentuk daun dan saiznya sahaja. Nama pokok ini adalah Pokok Kapal Terbang dan mungkin namanya diambil daripada sifat bunganya yang senang diterbangkan oleh agen penyebaran seperti angin.

Pokok Kapal Terbang atau nama saintifiknya Chromlaena odorata (L.) R. King & H. Robinson Linn ini merupakan tumbuhan renek dan sejenis rumpai dari keluarga Asteraceae. Panggilan lain bagi pokok ini juga adalah sebagai Pokok Jepun, Pokok Jerman, Pokok Busuk-Busuk dan banyak lagi.

Pada dasarnya, pokok ini bersifat seakan daun sireh namun yang membezakan antara daun tersebut dengan daun sireh adalah bentuk daunnya yang bergerigi dan berwarna hijau sederhana gelap. Manakala pucuknya pula berwarna hijau bercampur dengan ungu tua.

Permukaan daun dan bahagian batang pokok ini seakan berbulu halus namun sangat lembut bila ia disentuh. Daun ini juga mempunyai aroma yang sangat kuat dan ia juga akan mengeluarkan warna hijau seperti teh hijau sekiranya dikisar ataupun diuparkan melalui kedua-dua belah tapak tangan.

Daun ini tidak susah untuk dicari kerana kebolehannya untuk tumbuh di pelbagai tempat tidak kira di tanah yang berjenis apa sekalipun dan juga tidak kira musim. Pokok ini boleh dikategorikan sebagai antara pokok yang boleh berdepan dengan apa sahaja cabaran kecuali ditebas dan juga dibakar. Kebiasaannya pokok ini dijumpai di kawasan hutan, malahan di kawasan perkampungan ataupun belukar juga dapat ditemukan.

Orang-orang kampung menggunakan pokok ini sebagai bahan ubatan tradisional mereka dan pokok ini hanya boleh digunakan pada bahagian luaran sahaja kecuali akar. Selain akar pokok tersebut, daun, batang serta bunganya tidak boleh dijadikan ubat untuk diminum kerana mempunyai kesan sampingan seperti mabuk.

Antara kegunaan pokok ini adalah daunnya dijadikan ubat untuk merawat luka-luka yang baharu kesan geseran selepas kemalangan ataupun digigit serangga dan haiwan.

Selain daripada untuk mengubati luka, daun ini ada juga kegunaan lain seperti untuk meredakan kembung perut dan cirit birit pada bayi. Daun ini dicampur bersama kapur dan dikisarkan dengan menggunakan telapak tangan sehingga ia hancur dan juga mengeluarkan buih. Kemudiannya ia disapukan pada perut bayi dan dibarut.

Daun ini juga bolah digunakan untuk menghilangkan kegatalan pada kulit dengan proses ia dilakukan adalah sama seperti untuk mengubati kembung perut. Malahan, ibu-ibu yang lepas bersalin juga boleh menggunakan daun ini sebagai ubat seperti untuk bertungku dan juga untuk mandian herba dan wap. Ia akan membantu mengeluarkan toksin-toksin yang terkandung dalam badan manusia. Akar pokok ini juga berupaya untuk mengurangkan suhu badan ketika demam dengan cara akarnya direbus dan seterusnya diminum.

Daun ini juga digunakan untuk membantu proses memeram buah-buahan agar lebih cepat masak. Sebagai contoh, kebanyakan penjual pisang goreng menggunakan daun ini untuk memeram buah pisang dan hanya memerlukan kira-kira tiga hari untuk pisang tersebut masak.

Daun ini kebanyakannya digunakan oleh pengembara dalam hutan bagi mengubati luka dan juga untuk menghalang serangga seperti nyamuk untuk mendekati mereka.

Untuk pengetahuan anda, pokok ini sebenarnya musuh kepada pekebun kerana ia mudah untuk tumbuh di merata tempat dan sekiranya ia tumbuh, tumbuhan ini berpotensi untuk menjadi semak samun dan menganggu tumbesaran pokok yang ditanam oleh pekebun sekiranya mereka tidak mengambil kisah tentang kewujudan pokok ini.

Penulis:

  • Muhamad Aris Bin Aziz adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sebelum ini, kami ada kongsikan manfaat pokok bonglai. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca