Kenali Mueeza, Si Kucing Kesayangan Nabi Muhammad SAW

Tidak dinafikan, ramai orang suka memelihara kucing sebagai haiwan peliharaan. Kecomelan dan ketelatahan kucing yang mencuit hati membuatkan hati setiap yang memandangnya pasti terpaut.

Tahukah, anda? Kucing dipelihara sejak dari zaman dahulu lagi. Nabi Muhammad SAW juga memiliki seekor kucing kesayangan yang diberi nama Mueeza.

Mueeza, kesayangan Rasulullah SAW

Setiap kali Rasulullah SAW menerima tetamu, baginda sering mendukung Mueeza dan meletakkannya di atas paha baginda. Salah satu sifat Mueeza yang paling disukai Rasulullah SAW ialah Mueeza selalu mengiau ketika mendengar azan, suaranya seolah-olah mengikuti alunan azan tersebut.

Pernah berlaku suatu kejadian di mana Rasulullah SAW hendak mengambil jubahnya, namun niatnya terbantut apabila terlihat Mueeza sedang lena di atas pakaian baginda. Disebabkan tidak mahu mengganggu kucing kesayangannya, baginda memotong bahagian lengan jubah yang dibaringi oleh Mueeza agar haiwan itu tidak terjaga.

Sewaktu baginda pulang ke rumah pula, Muezza terbangun dan menundukkan kepalanya kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW akan mengusap lembut ke badan kucing itu sebagai tanda sayang.

Mueeza, kesayangan Saidatina Aisyah R.A

Kisah tentang Mueeza yang seterusnya diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya. Ia menceritakan tetang budak suruhan yang dikehendaki memberikan Saidatina Aisyah semangkuk bubur. Namun, ketika ia sampai di rumah Aisyah, wanita itu ternyata sedang menunaikan solat.

Kemudian, ia memberikan isyarat untuk meletakkannya di samping rumah. Sayangnya, Saidatina Aisyah terlupa akan bubur tersebut. Maka, datanglah seekor kucing lalu memakan sedikit bubur berkenaan.

Sewaktu melihat bubur itu dimakan kucing, Aisyah R.A terus mengasingkan bahagian yang disentuh haiwan comel itu sebelum memakan bahagian satunya lagi.

Demikianlah kisah tentang kucing Nabi Muhammad SAW iaitu Mueeza. Melalui kisah tersebut, dapat kita ketahui betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW terhadap kucing. Rasulullah SAW turut pernah berpesan agar menyayangi kucing sebagaimana kita menyayangi keluarga sendiri.

Saidatina Aisyah R.A, iaitu isteri kepada Rasulullah SAW juga amat menyayangi kucing dan berasa kehilangan sekiranya ditinggal pergi oleh kucingnya. Beberapa orang terdekat Nabi Muhammad SAW turut memelihara kucing. Antaranya ialah Abdul Rahman bin Sakhr Al Azdi yang terkenal dengan gelaran Abu Hurairah bermaksud ‘bapa para kucing jantan’.

Penulis

  • Nur Akhtasha Binti Ismail adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel yang berkaitan dengan topik atau kisah kucing, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca