Kenali Dr. Noor Hisham Abdullah, Wira Kesihatan Malaysia

Beliau bukanlah penyanyi terkenal mahupun seorang bintang ternama, namun tiada siapa yang dapat menafikan bahawa beliau merupakan antara individu yang paling popular di Malaysia ketika ini.

Sejak lebih empat minggu lalu, wajah figura ini hampir saban hari menghiasi kaca televisyen, muka depan dada akhbar, malah meniti di bibir rakyat Malaysia.

Kemunculannya amat dinanti ramai. Malah akaun media sosialnya diserbu ratusan ribu pengikut. Setakat ini, laman sosial Facebooknya sahaja sudah memiliki lebih 375,122 orang pengikut.

Walau bagaimanapun, bukan populariti yang dicari oleh pemilik wajah yang tenang ini. Di atas bahunya kini terpikul beban, ibarat batu besar yang sangat berat.

Melawan musuh halimuman bernama COVID-19, beliau bagaikan panglima di medan perang yang kini mengetuai ribuan doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan Malaysia.

Beliau bukan sahaja terlibat secara langsung menangani masalah ini bahkan turut bertanggungjawab dalam sidang media hampir setiap hari.

Segala penerangan serta jawapan yang diberikan disusun dengan teratur dan berhemah, membuatkan semua lapisan masyarakat memahaminya.

Ketika diberi kata-kata sanjungan sebagai wira negara, dalam kerendahan hati Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengakui, “Ini bukan tentang saya, tetapi apa yang kita boleh lakukan bersama-sama untuk memerangi COVID-19.”

Mungkin ramai yang tidak menyedari ketika ketiadaan Menteri dan Timbalan Menteri sewaktu peralihan kuasa kerajaan baru-baru ini, Dr. Noor Hisham tetap cekal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Pada saya, tak penting (gelaran wira negara) tetapi apa yang penting adalah perkhidmatan kita,” jelasnya.

Baru-baru ini, beliau turut diberi pengiktirafan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menerusi video berdurasi 2 minit 20 saat yang disiarkan di laman Twitter beliau bersempena Hari Doktor Sedunia itu, Dr. Mahathir yang kelihatan duduk di samping Dr. Siti Hasmah berkata, tugas mendepani wabak COVID-19 amatlah berbahaya dan berat. Namun kesanggupan Dr. Noor Hisham menerajui usaha itu benar-benar dihargai.

Dilahirkan di Sepang, Selangor pada 21 April 1963, Dr. Noor Hisham Abdullah mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pembedahan (sugery) dan Ijazah Kedoktoran Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa.

Menyingkap kembali kisah hidupnya, laman web bekas pelajar Sekolah Menengah Methodist Kuala Lumpur (MBSKL) pernah membicarakan mengenai Dr. Noor Hisham melalui sebuah entri pada tahun 2019.

Melalui perkongsian itu, Dr. Noor Hisham digambarkan sebagai seorang yang sentiasa merendah diri sejak di bangku sekolah dan seorang yang aktif dalam sukan olahraga.

Kehidupan zaman kanak-kanak Dr. Noor Hisham tidaklah semewah yang disangka dan mungkin kekuatannya pada hari ini telah diasuh sejak beliau kecil lagi.

Laman web bekas pelajar MBSKL itu memaklumkan bahawa beliau dibesarkan di sebuah flat kecil di Kuala Lumpur iaitu Flat Loke Yew oleh seorang ibu tunggal.

Ternyata gaya tenang Dr. Noor Hisham bukan sahaja disenangi rakyat Malaysia, bahkan kumpulan wartawan yang bertemu dengannya dalam sidang media setiap hari.

Malah, ibunya hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci dan terpaksa berhempas pulas membesarkannya bersama seorang lagi kakaknya.

Memetik laporan Sinar Harian, Dr. Noor Hisham tidak pernah sekali pun menunjukkan rasa bosan menjawab soalan yang diajukan para wartawan walaupun soalan itu mungkin telah ditanya berulang kali pada hari sebelumnya.

Sebelum bergelar Ketua Pengarah Kesihatan, beliau juga sebenarnya menjawat tugas penting di KKM antaranya ialah Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya.

Beliau juga pernah menjadi Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada tahun 2007, Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya pada tahun 2004 dan Pakar Bedah Umum pada tahun 1994.

Biarpun diberi gelaran wira, namun beliau sedikit pun tidak melupakan tenaga kerja bawahannya yang bertungkus lumus berjuang dan berkorban.

Dr. Noor Hisham tidak pernah ketinggalan merakamkan penghargaan kepada semua kakitangannya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua doktor yang bekerja siang dan malam, menggalas tugas yang amat berat dan terus berkhidmat untuk negara.

“Sedarilah kita adalah benteng pertahanan terakhir untuk negara. Sesungguhnya kegagalan bukanlah satu pilihan,” jelasnya.

Berikut merupakan profil dan kejayaan yang pernah beliau kecapi:

Pengalaman

1 Ogos 1988 – House Officer University Hospital Kuala Lumpur

2 Oktober 1989 – Medical Officer Accident and Emergency Department, Hospital Kuala Lumpur 

1990 – 1994 – Master of Surgery Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Kuala Lumpur

1 Julai 1994 – Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu

1997 – Fellowship in Breast Endocrine Surgery, Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospitals University of Adelaide Australia 

1997 – 1998 – Fellowship in Endocrine Surgery, Royal North Shore Hospital, University of Sydney Australia

16 Januari 1998 – Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin , Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur

16 Ogos 2002 – Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya

29 Januari 2008 – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

1 Mac 2013 – Ketua Pengarah Kesihatan

Kelulusan

1988 – Medical Doctor M.D (UKM)

1994 – Master of Surgery M.S (UKM)

1997 – Royal Australasian College Of Surgeons Fellowship Training in Breast Endocrine Surgery

1998 – Academy of Medicine Malaysia (A.M.)

2004 – Fellow Academy of Medicine Malaysia (F.A.M.M)

2008 – Advanced Management Program, Oxford Business School, UK

Anugerah

5 Jun 2004 – Kesatria Mangku Negara

2 Jun 2007 – Panglima Jasa Negara

17 Mei 2010 – Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis

17 Mei 2013 – Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis

26 Ogos 2013 – Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri Pulau Pinang

5 April 2014 – Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP)

Anugerah lain

Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2004, JKWPKL

Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2000, HKL

Semoga perkhidmatan awam negara ini dapat melahirkan lebih ramai lagi ikon hebat seperti Dr. Noor Hisham.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca