Bulan lalu tular di media sosial mengenai kenaikan harga 3 menu di Kentucky Fried Chicken (KFC) yang semakin mahal dan menyebabkan rakyat mengeluh serta menggesa kerajaan melakukan siasatan. Dikatakan set “Snack Plate” yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala “Dinner Plate” dari RM15.60 kepada RM19.60.

Isu tersebut telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengadakan pertemuan dengan GSR Brands (M) Holdings Berhad sempana majlis meraikan 306 pegawai KPDNHEP yang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang sepanjang 2018 Jumaat lalu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, hasil pertemuan pada Jumaat lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution dimaklumkan bahawa kos pengeluaran yang meningkat menjadi punca harga menu KFC dinaikkan.

Pihak GSR Brands juga memaklumkan kenaikan kos pengeluaran berlaku dari satu peringkat pengeluaran kepada peringkat yang lain. Ia juga berpunca daripada syarat yang telah ditetapkan untuk memegang lesen francais antarabangsa.

“Jelas mereka, ada beberapa syarat yang perlu mereka penuhi. Misalnya, bahan-bahan yang mereka gunakan. Dalam perjanjian francais, mereka disyaratkan membeli dari pembekal yang telah dinamakan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat pilihan daripada pembekal lain yang menawarkan harga yang lebih murah, syarikat itu tidak boleh mengubahnya kerana terikat dengan syarat dan perjanjian yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat GSR Brands akan tetap menghantar laporan bertulis kepada kementerian itu dari semasa ke semasa mengenai isu ini.

Sumber: Free Malaysia Today

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda