“Kena Samak Satu Bilik”, Lelaki Ini Gelabah Tengok Anjing Tidur Atas Katil ‘Member’

Baru-baru ini, foto seekor anjing sedang nyenyak tidur di atas katil di kolej kediaman sebuah universiti dekat Melaka telah tular di laman Twitter.

Foto yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman tersebut iaitu Mohd Khuzairi Naim ternyata berjaya mencuri perhatian warganet sehingga meraih hampir 16,000 ulang kicau dan 9,000 tanda suka.

Menurut Mohd Khuzairi yang juga merupakan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, gambar itu dikongsi oleh rakannya menerusi aplikasi iMessage yang bertujuan untuk menyakat dirinya.

“Memang saya kelam-kabut ketika menerima gambar itu dan menyuruh rakan, Farique Soleh memanggil Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JPKK) untuk membantu menghalau anjing berkenaan,” katanya.

Cerita Mohd Khuzairi, dia berasa cukup pelik apabila rakannya langsung tidak menunjukkan rasa cemas. Malah, Farique siap mengatakan yang dia bersimpati terhadap anjing itu.

“Ketika dia menghantar gambar tersebut kepada saya sekitar jam 3.30 petang Selasa lalu, saya terkejut kerana seekor anjing boleh tidur lena di atas katilnya.”

“Saya kelam-kabut dan menyuruhnya samak tetapi dia tetap kasihankan anjing itu,” katanya.

Walau bagaimanapun, rakannya itu akhirnya mendedahkan perkara sebenar di mana gambar anjing itu sebenarnya telah disunting menggunakan filter di aplikasi Instagram.

“Pada awalnya saya tak sangka gambar tersebut disunting sebab nampak ada kedut di atas katil seolah-olah memang ada anjing itu duduk.”

“Rupanya dia saja nak kenakan saya sebab dia tahu saya seorang yang cepat gelisah, namun saya tidak berkecil hati kerana dia memang suka bergurau.”

Artikel Lain Untuk Di Baca