Kemunculan Kopiko Dalam Drama Vincenzo Ini Curi Perhatian Ramai

Jika sebelum ini entiti seakan-akan pocong pernah membuat ‘kemunculan istimewa’ dalam Start-Up, gula-gula kegemaran rakyat Malaysia iaitu Kopiko pula membuat kemunculan dalam episod terbaharu drama Vincenzo.

Babak tersebut sudah semestinya berjaya menarik perhatian orang ramai terutamanya peminat drama Korea dari Asia. Dengan kemunculan Kopiko, rata-rata warganet berasa terkejut dan mula berharap harga gula-gula yang berasal dari Indonesia itu tidak akan naik selepas ia dipromosikan dalam Vincenzo.

Bukan itu sahaja, ada juga yang berkata mereka sudah lama tidak makan gula-gula perisa kopi tersebut. Malah, ada juga yang turut tumpang berbangga kerana Kopiko muncul dalam drama yang diterajui oleh barisan pelakon bintang seperti Song Joong-ki, Jeon Yeo-bin dan Ok Taecyeon.

Sumber: Twitter @iimfathimah

Untuk anda yang masih belum menonton drama ini, ia berkisar tentang seorang peguam Itali bernama Vincenzo Cassano (Song Joong-ki) yang merupakan penasihat kepada sebuah keluarga mafia.

Disebabkan konflik yang tercetus dalam organisasinya, Vincenzo kembali ke Korea dan berlaga pula dengan seorang peguam tegas bernama Hong Cha-young (Jeon Yeo-bin).

Sumber: Twitter @VincenzoYummy

Cha-young dan Vincenzo mencapai keadilan dengan mengaplikasikan cara yang diguna pakai oleh para penjahat. Drama ini diyakini akan membuat penonton puas hati apabila melihat hero gelap berlawan dengan penjahat sebenar menggunakan ketegasan undang-undang.

Kemunculan Kopiko dalam drama berkenaan sedikit sebanyak mempromosikan kewujudan gula-gula kegemaran masyarakat di Asia Tenggara ini ke seluruh dunia. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca