
Kempen #SaferEveryday adalah satu inisiatif untuk membantu masyarakat dalam membanteras jenayah yang melibatkan kes kehilangan kanak-kanak. Kempen ini telah dilancarkan oleh Grab Malaysia dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Pengarah Negara Grab Malaysia, Sean Goh, pemandu Grab yang berada di 35 buah bandar raya yang terpilih akan menerima satu sistem amaran kanak-kanak hilang yang juga dikenali sebagai NUR Alert.
“Pihak berkuasa sudah melakukan yang terbaik, namun kuasa untuk membolehkan ratusan ribu rakyat Malaysia saling melindungi serta berkongsi maklumat dan bekerjasama bagi memastikan keselamatan semua terjamin adalah kunci sebenar dalam membantu kita melangkah sebagai sebuah negara,” katanya kepada pihak media selepas pelancaran kempen #SaferEveryday baru-baru ini.

Selain itu, pihak Grab Malaysia akan terus membuat penambahbaikan bagi memperkenalkan cara baharu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan para penumpang dan rakyat Malaysia tentang NUR Alert. Sistem ini merupakan inisiatif antarabangsa yang bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan kes kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dengan cepat.
Diharapkan kempen ini dapat meningkatkan kesedaran lebih ramai lagi rakyat Malaysia di luar sana.