Peminat bola sepak pasti mengenali Sir Alex Ferguson. Beliau merupakan pengurus paling terpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia. Sebelum bersara pada tahun 2013, beliau telah membimbing sebuah kelab bola sepak gergasi dunia iaitu Manchester United. Beliau menjadi pengurus untuk Man United selama 26 tahun dan di bawah kendaliannya kelab tersebut telah memenangi 13 kali kejuaraan liga dengan 25 kejuaraan domestik serta peringkat Eropah.
Faktor kejayaan bimbingan Ferguson telah menarik perhatian banyak pihak terutamanya Harvard Business School. Professor Anita Elberse telah berkerjasama dengan beliau untuk merungkai rahsia kejayaan dalam pengurusan kelab gergasi itu. Berikut adalah formula yang digunakan oleh Sir Alex Ferguson.
1. Pertukaran pemain
Sir Alex Ferguson mengatakan pertukaran pemain sangat diperlukan dalam pasukan bola sepak. Semasa kariernya, beliau tidak takut untuk menjual pemain bintang pasukan Man United iaitu Cristiano Ronaldo. Hal ini kerana beliau percaya dengan menjual Ronaldo kepada Real Madrid membolehkan pasukan Man United mendapat keuntungan yang lumayan dan mampu untuk membeli pemain-pemain muda.
2. Jangan hilang kawalan diri
Sekiranya ada pemain yang tidak berpuas hati dengan tindakan Ferguson, beliau akan terus mengambil tindakan. Ini yang terjadi kepada Roy Keane dan Ruud Van Nistelrooy, di mana dua pemain ini dipindahkan selepas menyoal tindakan Ferguson. Ferguson tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana beliau percaya kuasa itu terletak pada pengurus dan pasukan perlu tahu siapa berkuasa.
3. Komunikasi
Komunikasi ini sangat penting dalam sesebuah pasukan. Walaupun dikenali sebagai seorang pengurus yang garang, Ferguson mengetahui masa yang sesuai untuk bertindak. Bagi Ferguson, setiap pengurus perlu menekankan sifat positif kepada pasukan dan setiap pemain perlu ada rasa takut dalam diri mereka. Menjerit tidak akan mengubah keadaan dan terlalu lembut tidak akan membuat pemain itu lebih baik.
4. Perlu bersedia
Peminat Man United pasti tahu akan ungkapan ‘Fergie time’ ini. Ungkapan ini membawa maksud dalam mencari gol penyamaan atau kemenangan, beliau sanggup mengambil risiko tewas. ‘Fergie time’ ini wujud apabila pasukannya mempunyai rekod kemenangan di saat-saat akhir. Sebenarnya, keadaan ini sudah diterapkan oleh Ferguson kepada pemain pasukan Man United.
Marilah kita menerapkan perkongsian oleh Sir Alex Ferguson untuk bola sepak Malaysia. Mungkin dapat melahirkan Sir Alex Ferguson versi Malaysia.