Kembara Hat Yai Ke Bangkok – Wanita Ini Kongsikan Pengalaman 1001 Pasar Yang Tiada Penutup

Pada kali ini perjalanan kami suami isteri ditemani oleh sahabat lama saya pada zaman universiti dulu iaitu Renn. Kami sengaja berpakat dengan Renn sebab Renn dengan Bangkok seperti isi dengan kuku. Setahun dua-tiga kali dia ke Bangkok. Kebetulan Renn juga mempunyai bisnes online dengan menjual barangan kulit, jeans dan aksesori. Dia selalu ke Bangkok atas urusan niaga, untuk berjumpa dengan pengedar dan menyelam barang. Jadi, dengan adanya Renn sudah tentu dapat membantu kami sepanjang di Bangkok.

9 – 10 Januari 2019. Hari Pertama & Kedua: Kuala Lumpur – Padang Besar – Hat Yai – Bangkok.

Kami bersembang meriah dalam ETS dan tak tidur langsung dari KL ke Padang Besar. Sebab konon-konon nak tidur dalam tren ke Bangkok nanti. Jam 9.55 pagi kami menaiki ETS untuk mengejar tren ke Hat Yai yang cuma ada 2 sesi sahaja iaitu pagi dan petang. Kalau tak, kena naik van atau bas ke Hat Yai. Sekitar jam 3.40 petang kami sampai di Padang Besar untuk membeli beli tiket dan menaiki tren ke Hat Yai.

Setibanya di terminal Hat Yai, kami terus ke kaunter untuk membeli tiket tren ke Bangkok. Kawan Renn yang tinggal di Hat Yai, menasihati kami supaya tak membeli online, sebab kebiasaan tiket tidak habis dijual. Orang lebih suka menaiki bas supaya lebih cepat sampai katanya. Kebetulan pula kami datang bukan pada peak season. Jadi, tiket itu inshaAllah ada. Namun begitu, kepada sesiapa yang menginginkan persediaan rapi dan tak mahu berada dalam situasi kelam-kabut, bolehlah melayari website ini untuk beli tiket secara online di 12GO Asia. Cara pembayaran adalah dengan menggunakan credit card (CC). Jangan lupa untuk set jam apabila sampai di Thailand supaya tidak keliru. Di mana waktu Thailand adalah lewat satu jam dari Malaysia.

Terdapat tiga kategori tiket semuanya dan kami membeli tiket yang special. Harganya lebih kurang RM130. Ada upper dan lower bed. Hanya beza dalam RM10 sahaja. Kalau duduk bawah dapatlah melihat permandangan luar, kalau duduk di atas hadap dinding sahajalah. Kami hanya ada sekitar sejam lebih sebelum tren bertolak. Sempat sahaja makan dulu di Hat Yai, sambil membeli sim card dan bekalan makanan, minuman untuk standby perjalanan panjang atas tren nanti.

Kami mempunyai masa 17 jam lebih dalam tren dari Hat Yai menuju ke Bangkok, dengan mencatatkan pengalaman kembara yang mengujakan, penuh debaran sekaligus mempersonakan. Masih terngiang bunyi angin menghentam tubuh keretapi yang laju serta rel yang bergesel membelah kepekatan malam. Sekitar jam 8 malam kerusi ditukar menjadi katil. Kami berjalan ke kafe dan menikmati bekal yang dibeli tadi sambil bersembang. So far perjalanan kami smooth dan mengikut rancangan yang telah ditetapkan. Tak rasa penat pun walaupun belum sempat berehat lagi sejak pagi tadi.

Sukar sungguh melelapkan mata, mulalah saya membayangkan percikan dari filem yang pernah ditonton. Bayangkan saya selak langsir, penumpang sebelah jadi zombie. Tiba-tiba tren berhenti, dan ada alien masuk. Tiba-tiba juga lagu berkumandang, semua penumpang bangun dan menyanyi sambil menari. Macam-macam. Maklumlah minah drama kan?

Amar sesekali mengintai dari ruang tidurnya di bahagian atas dan say hi. “Tak boleh tido ke tew?” Saya geleng kepala. Kami sama-sama tak boleh tidur. Walaupun sebenarnya kemudahan sleeper itu sempurna. Masa pekerjanya menyediakan ruang tidur (dari kerusi menjadi katil), selimut masih dalam plastik lagi. Bantal, cadar, selimut semuanya bersih dan wangi. Tilamnya juga tak keras. Begitu juga dengan toiletnya yang cantik berkilat. Baunya susah saya nak gambarkan seperti bau hospital dan klinik, tapi versi nyaman. Tak tahu bagaimana mahu terangkan. Saya perhatikan beberapa kali juga pekerja dalam tren mop lantai. Tidak lupa soket untuk charge handphone pun ada di sebelah katil. Disebabkan toilet bersebelahan sahaja dengan gerabak kami, saya hanya berkaki ayam. Mungkin sebab teruja atau terlebih minum kopi yang jadi penyebabnya, atau boleh juga gunakan teori Amar-Tempat baru kan? Dalam tren pula. Memang tak boleh tidur sangat.

Saya tak berapa ingat bila akhirnya saya terlelap, tapi terjaga apabila tren berhenti di stesen Hua Hin. Kedengaran suara yang menjual makanan dan minuman dari luar tren. Dari jendela saya nampak matahari mulai memunculkan diri. Saya kejut Amar untuk ambilkan gambar (sebab dia dah janji). Sebagai instagramhusband Amar gigih bangun dalam keadaan mamai. Sempat cerita yang dia makan pulut ayam sebab tak boleh tido. Akhirnya, terabadilah juga gambar saya bertemankan matahari terbit. Panorama pagi dari balik jendela memang indah. Kami merentasi kampung, denai, pepohonan pesona mata memandang.

Sekitar jam 11, kami tiba di Stesen Hua Lamphong iaitu Terminal Utama Bangkok yang masih utuh sejak 1916 lagi dengan memelihara rekaan klasiknya. Siling atapnya yang tinggi membuatkan sesekali kelihatan burung merpati terbang masuk mencuri tumpuan kesibukan manusia yang mahu pergi dan pulang ke destinasi masing-masing. Dari terminal kami menaiki tuk-tuk (motor roda tiga seperti beca) ke penginapan yang telah ditempah awal oleh Amar melalui Agoda.com. Kami check in pada jam 2 petang, dengan meninggalkan barang dan berjalan kaki mencari makanan. Kami tinggal di Sam Sen Sam, di Samsen Road Wat Sam Phraya, yang merupakan low key hotel berkonsepkan rekaan tradisi Thailand dengan harga RM100 untuk semalam berserta breakfast disediakan.

Renn membawa kami pergi makan nasi campur di Jalan Chakrapong, terdapat lorong menuju ke masjid Chakrapong dengan hanya berjalan sekitar 10 minit dari penginapan kami. Di sepanjang lorong itu rupanya terdapat beberapa gerai menjual makanan halal. Set up-nya simple sekali, tetapi makanannya sedap amat dan murah. Kopinya juga aduh, teringat-ingat sampai sekarang, seperti starbuck kopinya dibungkus, hanya dengan harga 20 baht iaitu 2 ringgit sahaja untuk kopi yang sedap namatey.

Kami kemudian berjalan sehingga ke Khao San Road yang terkenal sebagai syurga backpackers dari seluruh dunia. Di sini berhimpunnya aneka penginapan murah, penginapan kelas menengah, kedai buku, kedai cenderamata, kedai tattoo, tempat massage dan banyak lagi. Feelnya seperti di Bukit Bintang. Kalau malam lebih happening lagi kata Renn. Kemudahan mendapatkan perkhidmatan travel agent juga bersepah di kawasan ini. Ia terletak sekitar 3 km dari Kota Bangkok. Kebetulan saya dan Amar bercadang untuk ke Kanchanaburi, alang-alang kami terus menempah slot dari salah seorang agen yang ramah. Kami ke hotel untuk berehat dan malamnya pula baru keluar berjalan.

Kami tidak merancang, namun ia hanyalah secara kebetulan yang indah. Kami ke Bangkok saat Bangkok Art Biennale 2018 sedang berlangsung sehingga februari nanti. Pada malam pertama di Bangkok, kami ke Bangkok Art & Culture Centre (BACC) dengan menaiki tuk tuk. Pengangkutan yang boleh digunakan sekitar Bangkok adalah seperti teksi, tuk tuk, bas dan juga grab. Ikutlah keselesaan masing-masing. Harganya lebih kurang mengikut destinasi yang ingin dituju. Sepanjang di sana, kami banyak menggunakan teksi dan sesekali grab. Teksi pun ok juga sebab ia menggunakan meter. So, terpulanglah mengikut keselesaan masing-masing. Cuma ia perlu berhati-hati kalau menaiki tuk tuk. Ada kala nasib tak baik, dia tahu yang kita pelancong, maka diletakkan harga mahal. Jadi nasihat Renn, kita perlu faham logik jarak sesuatu destinasi itu.

Bangkok Art Biennale 2018 dengan tema Beyond Bliss mengumpulkan 75 artis (dari Bangkok dan luar negara) melalui pebagai medium dalam mempamerkan karya seni masing-masing. Terdapat 20 lokasi sekitar Bangkok yang terlibat dalam acara ini. Sepanjang trip ini, kami sempat melihat dua lokasi yang meraikan Bangkok Art Biennale 2018 dan Galeri Seni. Tiada bayaran untuk masuk kerana ia percuma.

BACC terletak di tengah kotaraya yang sibuk, ia berhampiran dengan stesen MRT dan dikelilingi kemeriahan mall. Art installation bermula dari pintu luar untuk dijadikan tarikan muda mudi. Ada yang datang dengan berpakaian sekolah. Ia juga dijadikan tempat karyawan menjual produk seni dan kraf. Ia dibuka seawal pagi dan tutup pada jam 9 malam. Bayangkan balai seni kita terletak di tengah-tengah Bukit Bintang, mungkin apresiasi terhadap seni budaya lebih tinggi. Mungkin.

Penutupnya kami ke Ratchada Rot Fai Night Market untuk makan malam dan meraikan antara pasar malam yang happening di Bangkok. Ia menjadi tempat berhibur rakyat Bangkok yang penat bekerja siang hari dan juga tempat tarikan pelancong. Meriah sungguh dengan 1001 pelbagai barang dan makanan yang dijual. Amar bisik, ala-ala uptown di KL, tapi versi lebih happening. Barang-barangnya memang menarik dan bikin rambang mata. Di sini, sukar sedikit untuk mencari makanan halal, tapi ada juga peniaga muslim. Perlu tenang apabila mencari. Buat pertama kalinya saya mencuba Pad Thai. Amboi sedap sungguh. Amar beli sehelai kemeja bundle retro dan saya dapatlah seketul spek saloma dengan harga RM15.

Thailand pada saya adalah negara 1001 pasar. Di Bangkok sahaja terdapat beratus pasar, di darat dan di air. Kewujudan pasar bukan sahaja atas faktor ekonomi, malah lebih besar, ia seperti sudah menjadi gaya hidup. Sebagai peminat pasar, saya cuba pergi seberapa banyak pasar yang ada di Bangkok di sela masa dan kesempatan yang ada.

Sebelum pulang Renn membawa kami merasai meehun sup di Jalan Thanon Ram Buttri, pasar malam sekitar penginapan kami kerana saya sering bercakap berkenaan makanan meehun sup Thailand sejak dari atas tren lagi. Kami hanya share bertiga kerana sudah kenyang makan sekitar night market. Renn membeli roti pisang dan Thai Sweet Crepe sebagai dessert.

11 Januari 2019. Hari Ke-3: Bangkok – Kanchanaburi.

Pada jam 7 pagi kami sudah menaiki van ke Kanchanaburi dan ditemani pelancong-pelancong lain. Pakej yang kami ambil harganya sekitar RM200 dengan 5 lokasi termasuk makan tengahari. Perjalanan kami mengambil masa selama 2 jam. Tempat-tempat yang kami pergi adalah seperti berikut:

1) Muzium Perang
2) Jambatan merentasi River Kwai
3) Menaiki keretapi untuk ke Death Railway
4) Air Terjun Sai Yok Noi
5) Memorial Perang Dunia ke-2 (Kanchanaburi War Cemetery)

Trip ke Kanchanaburi adalah untuk melihat sendiri bagaimana landasan keretapi maut yang sering dibaca dari blog-blog kembara. Death Railway dibina pada tahun 1943 di bawah pemerintahan Jepun. Ribuan tahanan penjara dan buruh asia telah dikerah oleh tentera Jepun untuk membina landasan tersebut yang menghubungkan Thailand – Burma untuk membawa bekalan kepada tentera Jepun.

Pembinaan landasan keretapi ini dibina secara manual menggunakan sepenuhnya tenaga manusia. Landasan keretapi maut ini telah dibina melalui lembah yang dalam serta bukit dan menjadikan ia landasan yang sangat berbahaya. Ribuan tawanan perang telah terkorban semasa membina landasan keretapi maut ini serta telah diseksa dengan kejam oleh tentera Jepun. Saya cuba melihat ke luar jendela tren waktu kami tiba di gaung yang curam. Gayat sekali. Saya sebak dan tidak mampu membayangkan mereka yang telah terkorban demi menyiapkan pembinaan landasan itu.

Kami disajikan dengan makanan tengahari, kemudian ke air terjun Sai Yok Noi. Kami diberi masa lebih kurang sejam setengah untuk melihat air terjun. Cantik dan jernih sekali air terjunnya. Lokasi terakhir ialah Kanchanaburi War Cemetery–sebanyak 7,000 kubur yang terdiri daripada tawanan British, Belanda dan Australia yang meninggal semasa pembinaan landasan keretapi ditanam di sini.

Kami pulang dalam keadaan keletihan setelah seharian berjalan, saya tak keluar malam dan memilih untuk berehat sahaja. Malam itu, Amar belikan kebab. Renn pula tidak mengikut kami ke Kanchanaburi dan pergi menyelam ke festival vintage, ‘Made By Legacy.’

12 Januari 2018. Hari ke-4. Bangkok.

Orang kata kalau ke Bangkok tak pergi pasar Chatuchak, maka tak lengkaplah kembaranya. Jadi eloklah datang weekend sebab pasar ini hanya beroperasi sabtu dan ahad dari jam 8 pagi sehingga 6 petang. Jumaat buka juga tapi tak semeriah weekend. Chatuchak merupakan pasar terbesar di Thailand, memiliki lebih 8000 kedai yang terbahagi kepada 27 kawasan. Sebagai abang kawasan, Renn lukiskan kepada kami peta untuk memudahkan mencari jalan pulang. Ayah Renn cakap, di Pasar Chatuchak ini bapa dengan mak sahaja yang tak ada.

Sungguhlah, saya dengan Amar rasa amat menakjubkan walaupun kami hanya pergi ke beberapa kawasan sahaja. Rasanya suku pun tak sampai. Kawasannya berbumbung, memang berpusu orang, tapi masih selesa untuk berjalan. Hanya penat, tak penat sahaja. Tidak mustahillah satu dunia datang hanya untuk membeli barang di sini.

Sebelum menyelam, kami pergi isi perut di kedai Saman Islam. Sangat popular kepada pengunjung muslim. Di sini saya berjumpa meehun sup paling sedap yang pernah dirasa seumur hidup. MashaAllah. Portionnya besar, dagingnya lembut, kuahnya sangat sedap sekali. Gandingkan pula dengan teh ais thai. Sungguh, sehingga sekarang terasa lagi dicelah tekak. Saya akui yang peniaga Thailand ikhlas dalam menyediakan hidangan. Sepanjang saya ke Hat Yai dan Bangkok, tidak pernah lagi saya kecewa dengan air tangan warganya. Dari makanan jalanan sehingga ke restoran, semuanya dibuat dengan kasih sayang.

Saya sempat bersembang dengan seorang kakak muslim yang telah meniaga hampir 20 tahun di pasar Chatuchak, berasal dari Songkla. Beliau dan suami mempunyai 3 kedai di kawasan itu, dengan menjual kasut bundle. Berniaga hanya pada hujung minggu sahaja sudah cukup untuk menampung ekonomi keluarganya. Alhamdulillah, beberapa kali keluar dari mulutnya. Koleksi kasut bundle semua masih baik, berkualiti dan harganya yang murah. Buatkan Amar meleleh air liur sehingga mengambil 2 kasut sekali. Amar berbisik, setahun sekali kalau nak shopping untuk barang sendiri, bolehlah kita ke Bangkok. Berbaloi katanya. Saya mengangguk sahaja. Idea itu menarik juga.

Setelah masing-masing mula lenguh kaki, tangan pun dah penuh, kami berjalan ke sebelah pasar Chatuchak. Terdapat pasar vintage yang diberi nama The Camp Vintage Flea Market. Kata Renn, ia lebih chillex dan tidak terlalu havoc. Pasar ini juga dibuka pada hari Selasa dan Khamis, pada jam 11 pagi hingga 10 malam, manakala weekend pula bermula Jumaat dari 11 pagi hingga tengah malam. Kami menghabiskan senja di situ bertemankan coke sambil menenangkan kaki. Pada malamnya pula kami pergi massage kaki di sekitar penginapan dalam 15 ringgit seorang.

13 Januari 2019. Hari ke-5. Bangkok.

Renn ke Pasar Chatuchak lagi dengan alasan kasut yang dibeli tersalah size. Padahal tak puas menyelam lagi untuk melihat tempat tersebut.

Jadi saya dengan Amar buat rancangan lain. Kami makan tengahari bersama sebelum berpisah ke destinasi masing-masing. Cuaca sungguh panas pada hari itu di Bangkok. Menurut Organisasi Meteorologi Dunia, Bangkok adalah salah satu kota terpanas di bumi. Bawalah topi, kasut yang selesa dan minumlah air secukupnya untuk elakkan dehydration. Sepatutnya pada pagi itu kami ingin ke floating market yang ada di sekitar Bangkok, tapi Amar cadangkan pergi Muzium Siam dulu.

Kami terhibur dan seronok berada di Muzium Siam. Dengan motto play + learn, pengunjung dapat menikmati sejarah perkembangan Thailand dari dulu hingga sekarang secara interaktif. Masuk dengan tiket berharga 200 baht. Di sekitarnya ada beberapa kuil bersejarah dan menjadi tumpuan pelancong seperti Wat Pho dan Grand Palace.

Seterusnya kami menaiki teksi ke pasar terapung Khlong Lad Mayom Floating Market yang berada sekitar 20 km dari Bangkok. Khlong Latmayom Floating Market ni hanya beroperasi pada hari Sabtu, Ahad dan hari cuti umum, dari pukul 9.30 pagi hingga 3.00 petang. Ia bukanlah pasar terapung yang popular dan biasa dikunjungi pelancong, cuma perjalanan yang jauh ke pasar terapung itu menyebabkan kami memilih yang berdekatan sahaja kerana ia amat sukar untuk mencari makanan halal di sini. Kami hanya makan aiskrim kelapa sebab masih kenyang lagi dengan makan tengahari. Tapi, disebabkan ingin melihat kemeriahan pasar terapung, pergilah juga berjalan-jalan. Last time pergi Hat Yai pada musim hujan, tak dapat nak menikmati sangat. Nantilah repeat Hat Yai lagi demi pasar terapung.

Kami menuju ke kotaraya Bangkok semula kerana sudah berjanji untuk berjumpa dengan Renn di Siam Aquare. Sempat singgah ke Scalva Cinema–Panggung wayang historikal yang terletak di jantung kota Bangkok sejak 1969. Ia mengekalkan seni retro dari rekaan bangunan, dekorasi, kaunter tiket dan kerusi. Selain itu, Scalva Cinema mempunyai ruang menunggu yang selesa, luas dan autentik. Satu-satunya panggung single screen yang masih dipelihara dengan baik. Panggung tersebut menayangkan semua jenis filem dengan harga yang murah berbanding panggung yang ada di seluruh Thailand, sekitar 100 bath. Ia memberi pengalaman sinematik sekaligus pembudayaan yang mengesankan. Filem Roma baru sahaja ditayangkan. Kalau tak mesti kami dah tonton. Mungkin kalau tonton dengan layar lebar lebih sedap. Apa pun saya masih rasa Roma filem terbaik yang ditonton 2018. Kami bersiar sekitar kota yang sibuk, dengan mengambil gambar dan kemudian ke One Bangkok untuk melihat pameran sempena Bangkok Art Biennale.

Kami bertemu dengan Renn di pintu masuk antara terminal BTS dan MBK Centre–shopping mall terbesar di Bangkok. Di antara laluan paling sibuk dengan pertemuan sistem pengangkutan yang pelbagai medium. Terdapat kuil kecil yang dibina di ruang masuk MBK Centre dan potret Raja Bhumibol Adulyadej yang melatari bangunan Cultural Centre di sebelahnya. Tanda rakyatnya yang beragama dan menghargai rajanya.

Kami sempat ke pameran Art Biennale di One Bangkok. Sebuah galeri seni yang intim dan sederhana dengan sebuah lukisan terpamer di sini dari gabungan Jean-Michel Basquiat, Francesco Clemente & Andy Warhol dengan tajuk Amorosi yang berharga jutaan ringgit.
Bagi meraikan malam terakhir di Bangkok, kami makan malam di restoran muslim popular Farida Fatornee. Hidangannya sedap, tetapi harganya yang agak mahal. Mungkin gelaran popular yang dimilikinya.

14 Januari 2019. Hari ke-6 (terakhir). Bangkok – Don Mueang International Airport.

Hari terakhir kami sempat berjalan sekitar Khoa San Road, masuk kedai buku dan cenderamata. Makan tengahari dan menuju ke lapangan terbang. Sememangnya, apabila ingin pulang kami telah merancang untuk menaiki kapal terbang. Tiket hanya RM300 lebih. Kami menaiki Malindo ada 25kg luggage. Kami tak membeli sangat pun, tetapi lebih kepada makan, ambil pakej day trip dan pengangkutan untuk ke sana ke mari. Dan ia bukanlah sejenis full force backpacker trip. Total bajet dari kembara ini sekitar RM1,500 seorang.

Semasa berangkat dari kapal terbang, senja indah terbentang ketika kami terbang di langit. Bangkok happening siang dan malam, dengan faktor usia saya lebih suka sisi Thailand yang lebih tenang dan damai. Namun tetap saya cinta akan sisi budaya masyarakatnya yang masih penuh dengan kemanusiaan. Selalu tersenyum dan murah dengan ucapan Khop Khun Khap (terima kasih) dan saweede krap (hello). Mungkin saya boleh kembali lagi ke Thailand dan melawat tempat pendalaman yang lebih tersembunyi dari hiruk-pikuk kota seperti Chiang Mai, Mae Hong Son dan Pai.

Namun begitulah tujuan kembara, untuk mengenal diri sendiri dengan lebih dalam lagi, sekaligus berusaha menghargai budaya, sejarah dan masyarakat di tempat lain. Dan pulang untuk menjadi lebih baik lagi. Untuk masuk dalam lingkungan dan menabur bakti.

Sebaik-baik tempat orang, manakan sama rumah sendiri.

Seperti kata Silam Pukau, “Rindu menciptakan kampung halaman, tanpa alasan.”

Perkongsian dengan izin penulis asal, Fazleena Hishamuddin

Artikel Lain Untuk Di Baca