Kembali Dengan Musim Baharu, Ini 4 Sebab Kenapa Anda Wajib Tonton Kampung People 3

Pernah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan pencinta drama tempatan ketika ia mula ditayangkan sekitar akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020, Kampung People kembali menemui para penonton untuk musim ketiga bermula hari ini (18 November).

Mengekalkan empat watak utama dengan barisan pelakon yang sama iaitu Elly Mazlein, Rashidi Ishak, Riena Diana dan Kamarul Eqifshah, kami kongsikan empat sebab kenapa anda wajib tonton Kampung People 3 dalam artikel ini.

1. Jalan cerita segar

Sumber: Instagram @rienadiana_

Membawa kelainan daripada musim-musim sebelum ini, jalan cerita yang disajikan dalam Kampung People 3 ini memang tidak akan mengecewakan para penonton.

Musim terbaharu ini menyaksikan bagaimana Razif (Rashidi Ishak) dan ahli keluarganya sekali lagi berada di bawah program perlindungan saksi di bawah PACERAT selepas menerima satu lagi ancaman daripada Cengkih Manis.

Keluarga Razif dan penduduk kampung dibawa ke bandar dan kini menetap di kawasan perumahan kos rendah. Anda dapat melihat pelbagai ragam keluarga kegemaran rakyat Malaysia ini apabila mereka cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu yang kononnya lebih moden tetapi sebenarnya lebih mencabar daripada kehidupan di kampung.

Mampukah mereka bertahan? Anda boleh tonton drama ini untuk mengetahui jawapannya!

2. Kemunculan watak baharu

Sumber: Malay Mail

Bukan sahaja Razif, Mona (Elly Mazlein), Laila (Riena Diana) dan Imran (Kamarul Eqifshah) yang akan kembali menemui anda, musim ketiga drama komedi santai kekeluargaan ini turut dimeriahkan dengan kemunculan watak-watak baharu seperti Tuan Suhaimi (Fadlan Hazim) dan Ejen 111 (Haidar Hasanudin). 

3. Kameo Aniq Suhair

Sumber: Instagram @aniqshr

Menurut OhBulan, Hun Haqeem tidak akan kembali dalam musim ketiga bagi menghidupkan semula watak Jaafar atau lebih dikenali sebagai Jekfer yang menjadi pujaan ramai peminat setia Kampung People.

Walau bagaimanapun, musim terbaharu ini akan diserikan dengan penampilan kameo Aniq Suhair yang menjadi bualan ramai selepas membawa watak Hayyat dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Apakah watak yang bakal dibawa Aniq dalam drama ini? Sama-sama kita nantikan.

4. Telatah menghiburkan hati

Sarat dengan gelak tawa, para penonton perlu bersedia untuk berhibur dengan babak-babak yang pastinya akan membuat anda tidak kering gusi ketika menonton Kampung People 3.

Kampung People 3 akan menemui para penonton dalam slot Lestary pada setiap Rabu sehingga Sabtu jam 9 malam. Anda boleh tonton teaser di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca