Kematian Yang Dicemburui, Imam Ini Meninggal Dunia Semasa Imamkan Solat Subuh

Seorang lelaki telah disahkan meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di Masjid Sultan Abu Bakar di Raub, Pahang semalam.

Mohd Rawi Ismail, 61, dikatakan menjadi imam ganti pada pagi itu selepas imam bertugas tiba lewat ke masjid.

Menurut sahabat baik arwah, Mohammed Md Jam, 73, berkata dalam kejadian jam 6.10 pagi itu dia tidak melihat sebarang tanda yang mengatakan arwah sedang berada dalam kesakitan. Hal itu menyebabkan Mohammed meminta Mohd Rawi mengimamkan solat pada hari itu.

“Selepas membaca surah al-Fatihah, dia mula membaca ayat lazim namun tersekat-sekat kerana tidak cukup nafas. Selepas rukuk, dia bangun dan nampak terhuyung-hayang hendak rebah ke belakang dan saya pun sambut dia.”

“Saya baringkan dia dan dia tidak berkata apa tetapi nadi dia masih ada lalu saya terus mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” terang Mohammed.

Isteri arwah, Mek Nab Che Sof, 58, berkata suaminya sering menasihati dia dan anak-anak supaya membaca dan menghafal surah Al-Mulk setiap kali sebelum tidur. Menurut wanita itu lagi, suaminya tidak pernah lupa membaca surah terbabit sebelum tidur dan selepas menunaikan solat.

“Sudah menjadi kebiasaan saya dan suami untuk ke masjid bersama-sama setiap hari kerana masjid berkenaan berada berdekatan dengan rumah kami di Taman Bukit Koman, Raub. Namun begitu, semalam saya tidak ikut dia ke masjid kerana hendak menyiapkan sarapan suami sebelum pergi ke Temerloh atas urusan mesyuarat pesara kerajaan bersama rakan,” ujar Mek Nab Che Sof.

Arwah Mohd Rawi Ismail merupakan bekas pembantu pertanian dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung 13 tahun lalu dan tidak menunjukkan tanda sakit sebelum meninggal dunia.

Hasil perkahwinan Mohd Rawi Ismail dan isterinya, Mek Nab, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.

“Dia juga disifatkan seorang yang pemurah dan suka bersedekah kepada kanak-kanak, saudara dan sahabatnya terutama dia suka beri buah serta hasil cucuk tanam diusahakannya.

“Siapa yang berkunjung ke rumah pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong,” kata Mek Nab lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raub dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca