Kematian Bukan Tanda Selamat Tinggal, Masyarakat Tana Toraja Hidup Untuk Hari Kematian

Bagi sesetengah orang, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kematian ialah satu subjek tabu, tetapi lain pula bagi satu suku kaum yang tinggal di Sulawesi Selatan, Indonesia ini. Bagi mereka, kematian merupakan salah satu pesta keraian kehidupan yang sangat besar. Mayat mereka yang telah meninggal dunia dianggap sebahagian daripada ahli kelurga.

Kawasan pergunungan kira-kira 800 kilometer dari timur laut Kepulauan Bali ini telah menjadi tempat tinggal buat suku kaum Torajan. Masyarakat daripada suku kaum ini bekerja keras untuk mengumpul harta buat hari kematian mereka. Hal ini kerana mereka percaya ritual kematian yang mewah adalah lambang kekayaan yang unggul dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Pada tahun 1972, majlis pengebumian seorang bangsawan berdarah jati Torajan yang terakhir telah menarik perhatian National Geographic dan peristiwa itu telah didokumentasikan.

Apabila seseorang Torajan mati

Walaupun mereka beragama Kristian, masyarakat ini masih berpegang teguh kepada kepercayaan nenek moyang. Dikenali sebagai Aluk To Dolo, suku kaum Torajan ini percaya bahawa kematian bukanlah perkara yang terjadi secara serta-merta tetapi mengambil masa sehingga bertahun sebelum roh si mati akan ke Puya iaitu alam akhirat.

Sementara menunggu waktu pengebumian, mayat si mati akan disimpan di dalam rumah ahli keluarga. Dianggap sebagai Makula (orang sakit), mayat ini akan diawet untuk mengelakkan pereputan. Formalin digunakan untuk proses ini dan akhirnya mayat itu akan menjadi mumia.

Jasad si mati akan disimpan di bilik paling belakang. Seterusnya, mayat akan dihadapkan ke arah Selatan kerana masyarakat ini percaya syurga terletak di situ . Mayat itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja sementara menunggu pengebumian. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjaga mayat itu seperti mereka masih hidup. Makanan akan dibawa dan mereka akan bercakap dengan si mati. Jika anda pelawat, mereka juga akan dibawa bertemu dengan si mati terlebih dahulu.

Majlis pengebumian
1. Korban Haiwan

Kekayaan si mati akan diukur dengan betapa mewah majlis pengebumiannya. Sesetengah keluarga mengambil masa bertahun-tahun lamanya demi mencari wang dan haiwan korban untuk majlis pengebumian ahli keluarga mereka.

Majlis pengebumian yang dikenali sebagai Rambu Solo akan berlangsung di antara bulan Jun dan September setiap tahun. Dilakukan sama ada di luar Tongkoran (rumah tradisional) di kampung atau Rante (padang keraian), majlis ini akan dihadiri oleh ramai orang.

Secara minima, enam ekor kerbau akan dikorbankan dalam satu majlis. Harga bagi seekor kerbau di pasaran boleh mencecah sehingga RM167 ribu. Jika keluarga si mati adalah orang berada, sebanyak 100 ekor kerbau mampu untuk dijadikan korban. Semakin banyak bilangan haiwan korban, semakin tinggi status si mati.

Para tetamu yang hadir ke majlis pengebumian sering membawa haiwan seperti babi dan kerbau sebagai hadiah buat keluarga si mati. Walaupun dikatakan sebagai derma, bilangan hadiah-hadiah ini akan direkodkan secara terperinci kerana ia akan dibayar semula apabila keluarga si pemberi hadiah pula meninggal.

Selain daripada mengorbankan kerbau, Bulangan Londong (laga ayam) akan dijalankan. Peristiwa ini juga dianggap suci seperti pengorbanan kerbau kerana berlaku pertumpahan darah. Sekurang-kurangnya 25 pasang ayam akan dilagakan.

Rambu Solo ini mampu berjalan sehingga dua minggu lamanya bergantung kepada status si mati. Setelah majlis selesai, mayat akan diletakkan di dalam palaquin, sejenis keranda berbentuk seperti Tongkoran dan dibawa oleh ramai kaum lelaki.

2. Ma’Nene

Selain daripada Rambu Solo, terdapat satu lagi pesta keraian untuk si mati dijalankan oleh suku kaum ini. Pesta Ma’Nene yang juga dikenali sebagai Upacara Pembersihan Mayat merupakan waktu di mana ahli keluarga akan mengeluarkan semula mayat dari tempat istirehat mereka. Dijalankan pada bulan Ogos, mayat-mayat ini akan dibersihkan dan dipakaikan pakaian baharu oleh ahli kelurga mereka.

Seterusnya, jasad si mati akan dipamerkan dan diarak ke seluruh kampung. Upacara ini dianggap sangat menghormati si mati. Apabila tiba masa untuk mengembalikan si mati ke tempat istirehat mereka, ahli keluarga akan meletakkan wang, rokok, pakaian dan beberapa barang lain yang mungkin diperlukan si mati di alam akhirat.

Ritual pengebumian ini amatlah penting buat masyarakat suku kaum Torojan. Namun begitu, generasi muda berpendapat ritual ini sangat membebankan. Kos perbelanjaan hampir mencecah RM209 ribu bagi keluarga berkasta rendah dan hampir RM2 juta buat mereka yang berkasta tinggi, tidak hairanlah mengapa jasad si mati tersimpan begitu lama sekali di dalam rumah ahli keluarga mereka.

Artikel Lain Untuk Di Baca