Kematian Artis Idola K-Pop Ini Tidak Mendapat Pembelaan Sehingga Kini

K-Pop adalah salah satu fenomena yang popular di seluruh dunia masa pada kini.

Walaupun secara zahirnya apa yang kita lihat dianggap sebagai perkara yang menyenangkan dan menghiburkan, namun terdapat kisah yang mungkin menjadi tanda tanya di kalangan peminat muzik ini sendiri.

Salah satu kisah yang kekal menjadi tanda tanya sehingga kini adalah kematian artis idola K-Pop, Kim Sung Jae.

Siapakah Kim Sung Jae?

Kim Sung Jae ialah salah seorang ahli kumpulan duo K-Pop popular Deux, yang juga dianggotai oleh Lee Hyun Do.

Era 90-an adalah era dimana muzik K-Pop sangat diminati oleh masyarakat, terutamanya golongan remaja. Sambutan ini mengakibatkan agensi-agensi hiburan mula mewujudkan kumpulan-kumpulan idola K-Pop terkenal seperti H.O.T, Sechskies, G.O.D, Shinhwa, SES, dan Fin.K.L. pada waktu itu.

Pada tahun awal tahun 1995, Seo Taeji and Boys merupakan satu fenomena di Korea Selatan. Tidak terkecuali, Deux juga merupakan kumpulan idola yang sangat berpengaruh pada ketika itu dan mereka dikatakan mempunyai peminat-peminat hardcore di Seoul, ibu negara Korea Selatan.

Segala-galanya mengenai Deux menjadi satu perbualan hangat dan penjualan album mereka adalah sangat-sangat membanggakan.

Ketika Deux berada di puncak popularitinya, Lee Hyun Do dan Kim Sung Jae memutuskan untuk membubarkan Deux dan bergerak solo. Kedua-dua pemuda ini ialah sahabat baik dan mereka berjanji akan bersatu semula sebagai Deux suatu hari nanti.

Setelah pembubaran kumpulan duo Deux, Lee Hyun Do dan Kim Seung Jae membuat persiapan untuk projek solo mereka.

Kemunculan Pertama Kim Sung Jae Sebagai Artis Solo

Kim Sung Jae telah membuat kemunculan pertamanya secara solo di pentas rancangan muzik SBS Gayo 20 dengan lagu As I Told You. Pentas solo pertamanya mendapat pujian dan berjaya.

Selepas melakukan persembahan pada hari tersebut, Kim Sung Jae menginap di sebuah hotel bersama dengan para penari pengiringnya dan juga teman wanitanya, Kim.

Kematian Kim Sung Jae Sehari Selepas Kemunculan Pentas Pertamanya

Pada keesokan harinya, 20 November 1995, Kim Sung Jae ditemui tidak bernyawa oleh pengurusnya di bilik hotel tempat beliau menginap malam sebelumnya. Beliau ditemukan memakai baju berlengan panjang.

Hasil pemeriksaan polis menemukan 28 kesan suntikan jarum di lengan kanan milik Kim Sung Jae. Punca kematiannya adalah disebabkan oleh tiletamine-zolazepam. Bahan kimia ini biasanya digunakan sebagai kandungan stimulan haiwan seperti zoletile dan terazole.

Dikatakan bahawa stimulan ini digunakan untuk menidurkan dan juga mematikan haiwan (anasthesia dan euthanasia).

Seseorang telah menyuntik cecair stimulan tersebut ke dalam badannya.

Kematiannya Menjadi Persoalan

Menurut ibu Kim Sung Jae, anaknya tidak pernah tidur dengan menggunakan baju berlengan panjang. Kebiasaannya, Kim Sung Jae akan tidur dengan memakai baju tanpa lengan atau tidak memakai baju.

Kemungkinan besar pembunuhnya telah memakaikan baju berlengan panjang tersebut pada tubuh Kim Sung Jae untuk menyembunyikan bekas suntikan tersbut.

Pada awalnya, orang ramai yang mengikuti perkembangan kes kematiannya berpendapat bahawa ada kemungkinan yang artis muda ini mengambil dadah. Tetapi pendapat itu semua dalah sama sekali tidak berasas.

Hal ini kerana Kim Sung Jae mempunyai hubungan yang sangat baik dengan keluarga, rakan-rakan dan bahkan semua orang yang mengenalinya, termasuk rakan-rakan artis. Tambahan pula, dia baru sahaja melakukan kemunculan pertama sebagai artis solo. Mana mungkin beliau ingin melakukan perkara bodoh yang mengakibatkan kariernya musnah serta-merta.

Fakta yang paling jelas adalah wajah Kim Sung Jae tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia berada di bawah pengaruh dadah.

Satu perkara yang menimbulkan kemusykilan adalah Kim Sung Jae ialah seorang yang menggunakan tangan kanan, bukan kidal. Walhal 28 kesan suntikan yang ditemui oleh pihak polis adalah pada lengan kanannya.

Suspek Utama Kematian Kim Sung Jae

Dalam kes kematian Kim Sung Jae ini, teman wanitanya iaitu Kim, telah menjadi suspek utama.

Hasil pemeriksaan dan autopsi pihak polis menemukan banyak bukti yang terarah kepada Kim:

  1. Pada malam Kim Sung Jae menginap di hotel, kesemua penari pengiring yang bersama dengannya tidur di bilik, manakala Kim Sung Jae tidur di ruang tamu. Teman wanitanya juga berada di ruang tamu.
  2. Kim mempunyai obsesi yang melampau terhadap Kim Sung Jae. Difahamkan bahawa Kim adalah salah seorang peminat Kim Sung Jae dan merupakan seorang ‘Sasaeng‘.
    • ‘Sasaeng’ adalah istilah yang digunakan oleh peminat K-Pop untuk melabel seorang peminat yang sangat fanatik. Kebiasaannya ‘Sasaeng’ dilaporkan menimbulkan bahaya kepada diri artis yang mereka minati.
    • Apabila peminat Kim Sung Jae mendekatinya untuk beramah mesra, Kim akan menyuruh mereka untuk menjauh.
    • Dikatakan pada suatu hari, Kim telah mengikat tangan Kim Sung Jae semasa beliau sedang tidur dan mengakibatkan beliau tidak dapat menghadiri satu janji temu untuk menandatangani sebuah kontrak rakaman.
    • Kim pernah menembak Kim Sung Jae dengan pistol gas (gas gun).
    • Kim menghubungi rakan-rakan Kim Sung Jae secara senyap untuk mengetahui aktiviti hariannya.
    • Semasa Kim Sung Jae berada di Amerika Syarikat, Kim akan menghubunginya setiap hari dan itu menjengkelkan beliau. Akhirnya, panggilan dari Kim dibiarkan tidak berjawab.
    • Kim mendapat tahu bahawa Kim Sung Jae telah menjalin hubungan dengan wanita lain semasa berada di Amerika Syarikat dan itu mungkin menjadi penyebab kemarahannya.
  3. Salah seorang penari pengiring Kim Sung Jae mendakwa terdengar bunyi mesin basuh sedang berputar pada waktu tengah malam. Dia terjaga oleh kerana bunyi bising mesin basuh. Dia berinisiatif untuk menjengah ke ruang tamu dan mendapati Kim sedang melakukan sesuatu.
  4. Seorang ahli farmasi berkata Kim membeli cecair stimulan haiwan itu di kedai miliknya. Dia sempat bertanya kepada Kim tujuan dia membeli cecair tersebut dan Kim menjawab, “Ini untuk anjing peliharaan saya.” Kim juga memberi peringatan kepada ahli farmasi tersebut untuk tidak memberitahu aktivitinya kepada sesiapa pun.
  5. Kim ialah individu yang telah membeli baju berlengan panjang yang dipakai oleh Kim Sung Jae.
  6. Kim didapati cuba untuk membayar sogokan kepada anggota polis untuk tidak melakukan pemeriksaan ke atas mayat mendiang Kim Sung Jae.

Saksi Mengubah Kenyataan Mereka?

Sewaktu perbicaraan kali pertama, mahkamah mendapati bahawa teman wanita Kim Sung Jae, Kim, didapati bersalah dan Kim dijatuhi hukuman bunuh.

Kim menyangkal sekeras-kerasnya yang dia bersalah semasa berada di dalam penjara. Hasil perbicaraan kali kedua, Kim dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh pihak mahkamah.

Perbicaraan kali ketiga mengubah segalanya. Kesemua saksi, termasuk ahli farmasi tersebut, telah mengubah perkataan mereka dan mengatakan mereka tidak mengingati apa-apa sama sekali. Berikutan itu, Kim telah didapati tidak bersalah.

Antara sebab dari pihak mahkamah untuk melepaskan Kim adalah cecair stimulan haiwan yang dipercayai dibeli oleh Kim tidak cukup berkesan untuk membunuh Kim Sung Jae. Selain daripada itu, mahkamah juga mengatakan bahawa Kim juga tidak mempunyai alasan untuk membunuh teman lelakinya kerana mereka tidak mempunyai sebarang isu pertelingkahan yang serius.

Secara keseluruhannya, ini semua disebabkan oleh ‘kekurangan bukti kukuh’.

Pihak pendakwa raya telah meminta perbicaraan semula kepada pihak Mahkamah Tertinggi tetapi ditolak.

Ramai Yang Tidak Berpuas Hati Dengan Keputusan Mahkamah

Peminat-peminat Deux berasa sangat marah dengan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah, begitu juga dengan Lee Hyundo.

Pada waktu itu, Lee Hyundo sedang mempromosikan karier solonya dengan nama ‘Sajahu’ yang pada ketika itu merupakan satu hit. Apabila Lee Hyundo mendapat tahu tentang berita tersebut, dia memutuskan untuk menangguhkan segala aktiviti seninya.

Teman wanita Kim Sung Jae, Kim, dikatakan datang daripada keluarga yang sangat kaya raya. Keluarganya memiliki sepuluh buah farmasi dan salah seorang ahli keluarga Kim ialah seorang ahli politik.

Khabar angin mengatakan yang Kim memenangi perbicaraan kes ini adalah disebabkan oleh kuasa keluarganya. Kim sendiri ialah seorang pelajar perubatan yang kini berkhidmat sebagai seorang doktor gigi.

Khabar yang mengejutkan adalah peminat-peminat Kim Sung Jae mendapat tahu bahawa Kim telah melakukan pembedahan plastik, mengubah namanya, dan hidup mewah sebagai seorang doktor gigi.

Rancangan TV SBS Disekat Untuk Menyiarkan Kisah Mengulas Kematian Kim Sung Jae?

Dikhabarkan pada tahun 2019, sebuah rancangan yang merungkai misteri kisah jenayah terbitan SBS, Unanswered Question, sekali lagi telah disekat penyiarannya salah satu episod dari rancangan itu yang berkaitan dengan kisah kematian Kim Sung Jae.

Mahkamah Daerah Seoul Selatan telah menerima permintaan penyekatan penyiaran tersebut daripada Ms. Kim.

Ya, tepat sekali sangkaan anda. Kim teman wanita Kim Sung Jae.

Berikutan daripada itu, episod mengulas kematian Kim Sung Jae yang sepatutnya ditayangkan pada 21 Disember 2019 tidak ditayangkan. Anda boleh baca selebihnya di sini.

Jadi, pada pendapat anda yang membaca artikel ini, siapa pembunuh Kim Sung Jae?

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca