Malaysia dijangka mengalami cuaca panas melampau sehingga Mei ini. Dalam tempoh ini, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan dipercayai akan merekodkan hujan kurang daripada 25 peratus purata hujan tahunan.
Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar, situasi ini akan menyebabkan keadaan panas yang melampau dan ia sekali gus mengurangkan sumber air sungai dan empangan di negeri tersebut.
Setakat ini, terdapat 2 lokasi yang tidak menerima hujan selama lebih 30 hari iaitu Hulu Perak di Perak yang berada pada tahap amaran (56 hari) dan Setia, Terengganu yang berada pada tahap waspada (31 hari).
7 lokasi pada tahap bahaya apabila menerima hujan kumulatif lebih rendah berbanding rekod hujan semasa fenomena El Nino (2015-2016) bagi tempoh Januari-Mac termasuklah Padang Terap (Kedah), Cameron Highlands dan Kuantan (Pahang), serta Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu (Terengganu).
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa 4 lokasi lain pada tahap amaran adalah Rembau dan Tampin (Negeri Sembilan), Rompin (Pahang) dan Hulu Perak (Perak).
Menurutnya lagi, 3 lembangan dijangka memerlukan tambahan bekalan air daripada empangan sedia ada iaitu Lembangan Sungai Muda (Empangan Beris), Lembangan Sungai Kedah (Empangan Muda, Pedu dan Ahning), serta Lembangan Sungai Melaka (Empangan Jus).
“Jabatan Pengairan dan Saliran mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri agar mengambil tindakan membuat pelepasan air secara terkawal daripada empangan terlibat,” katanya.
Mengenai storan empangan, Dr Xavier berkata tiga empangan merekodkan storan kapasiti dalam lingkungan 50 peratus iaitu Empangan Muda di Kedah (58.97 peratus) serta dua empangan di Johor iaitu Machap (55.61 peratus) dan Sembrong (54.07 peratus).
Melihatkan keadaan semasa, beliau menasihati agar penyaluran air kepada pengguna daripada segi keperluan harian, industri dan pertanian dan khususnya penanaman padi perlu dikawal.