Kemalangan Ketika Dalam Perjalanan Ambil Bekalan Vaksin, Pemandu Ambulans Maut

Seorang pemandu ambulans maut dalam kemalangan di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai ketika dalam perjalanan mengambil vaksin.

Kemalangan yang berlaku pada 11.58 pagi itu turut melibatkan sebuah lori yang membawa muatan berat.

Mangsa, Shamsul Shamshuri, 64, yang merupakan pemandu ambulans tersebut meninggal dunia di tempat kejadian kerana dipercayai mengalami kecederaan parah selepas tersepit pada bahagian pemandu.

Mangsa dikatakan bersama tiga lagi staf Kementerian Kesihatan dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang menuju ke Hospital Permai untuk mendapatkan bekalan vaksin.

Suhaimi Abdul Jamal yang merupakan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I melaporkan seramai 14 orang anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai bersama lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di tempat kejadian, didapati empat kakitangan iaitu pemandu Shamsul Shamshuri, 49; Rosnilam Satari, 48; Azlina Mohd. Rawi, 41; dan Amelia Pek Ying Hung, 26, telah terperangkap dalam van tersebut.

Pihak bomba dikatakan telah menggunakan alatan ‘rescue cutter’ untuk mengeluarkan semua mangsa dan telah mengambil masa kira-kira 11 minit.

Tambahnya lagi, pemandu van tersebut dilaporkan meninggal dunia dan dibawa ke EMRS sementara dua lagi mangsa cedera menaiki kenderaan kementerian itu ke hospital, manakala pemandu lori tersebut selamat.

Pihak bomba telah dimaklumkan van KKM tersebut sedang dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai untuk mengambil bekalan vaksin.

Suhaimi berkata, operasi tersebut kemudiannya ditamatkan pada pukul 1:24 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca