Kelibat UFO Di Utara Tanah Air

Pada suatu ketika dahulu, utara Malaysia pernah digemparkan dengan berita tentang pendaratan UFO. Penampakan makhluk asing ini diceritakan sendiri oleh saksi kejadian.

Makhluk asing sering dikatakan mempunyai mata dan kepala yang besar serta menaiki piring terbang atau lebih dikenali sebagai UFO.

Berikut adalah kejadian yang diceritakan oleh saksi tentang pendaratan makhluk asing di utara Malaysia.

1. Bukit Mertajam – 19 Ogos 1970

Kejadian pertama berlaku di Sekolah Kebangsaan Stowell di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 19 Ogos 1970. Ia melibatkan enam orang pelajar iaitu Mohammad Zulkini, 11, Abdul Rahim, 10, David Tan, 9, Sulaiman, 10, Vikneswaran, 10 dan Mohamed Ali, 8. Mereka mendakwa telah melihat beberapa makhluk asing bersaiz 3 inci sedang berarak keluar dari piring terbang ke arah kawasan sekolah.

Beberapa makhluk asing tersebut mengenakan uniform berwarna biru manakala ketua makhluk asing itu memakai uniform berwarna kuning serta mengeluarkan aura dan mempunyai antena di kepala.

Makhluk asing tersebut tidak mengendahkan enam orang pemerhati yang berada berdekatan kawasan tersebut. Salah satunya memanjat sebatang pokok yang berhampiran dan memasang alat seakan-akan antena pada dahannya.

Enam pelajar itu mendekati tetamu yang tidak diundang itu dan salah seorang daripada mereka iaitu Vikneswaran mencuba untuk menangkap ketua makhluk asing namun makhluk asing yang lain dengan cepat mengeluarkan pistol kecil serta menembak ke arah para pelajar tersebut.

Vikneswaran mendakwa tangannya terkena tembakan daripada makhluk asing tersebut dan meninggalkan parut. Orang ramai berkunjung ke sekolah tersebut untuk menyaksikan sendiri kejadian pendaratan makhluk asing. Pihak sekolah terpaksa menutup pagar bagi menghalang orang ramai daripada masuk.

2. Bukit Mertajam – 1973

Kejadian ke dua berlaku tiga tahun selepas pendaratan di Sekolah Kebangsaan Stowell. Penampakan kali ini berlaku di padang bola sebuah sekolah. Ketika kejadian, pelajar sedang bermain bola terkejut dengan kehadiran sebuah UFO kecil yang mendarat di padang tempat bermain.

Para pelajar berlari ke arah piring hitam itu dan melihat makhluk asing keluar dari piring terbang itu. Makhluk asing tersebut menghilangkan diri setelah menembak satu pancaran cahaya ke arah para pelajar kerana cubaan untuk menangkap makhluk tersebut.

3. Kulim – 26 Mei 1979

Tiga kanak-kanak lelaki dan dua lelaki dewasa menjadi saksi penampakan UFO di Kulim, Kedah. Mereka mendakwa UFO tersebut sedang terbang rendah berkemungkinan sedang cuba untuk melakukan pendaratan.

Salah seorang saksi kejadian cuba untuk menyentuh piring terbang tersebut sebelum ia memancarkan cahaya yang terang dan menyebabkan mata mereka seolah-olah buta sementara waktu.

Terdapat banyak lagi kes penampakan UFO di Malaysia sejak 1969 sehingga hari ini. Antaranya di Sungai Petani, Kedah sebanyak lapan kali, Ipoh, Perak sebanyak lima kali, Tanjung Sepat, Selangor sebanyak sembilan kali, Paka, Terengganu sebanyak empat kali dan Bukit Mertajam sebanyak tiga kali.

Perdebatan tentang kewujudan makhluk asing ini masih menjadi tanda tanya. Ada yang berpendapat bahawa ia benar-benar wujud dan ada yang menyatakan ini adalah imaginasi seseorang memandangkan pada ketika itu sedang popular dengan cerita makhluk asing dan UFO. Bagaimana pula dengan anda?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca