Keletihan Tubuh Yang Teruk, Ini Gejala Varian Omicron COVID-19

Seorang doktor yang memberi amaran mengenai varian baharu COVID-19, varian Omicron, berkata antara gejala varian ini ialah keletihan yang teruk pada pesakit. Walaupun gejala ini amatlah luar biasa, namun kesannya masih sederhana.

Kata Dr Angelique Coetzee, Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, beliau mula mengetahui akan kemungkinan adanya varian baharu untuk COVID-19 apabila ada pesakit yang dirawat di sebuah klinik swasta di Pretoria dilaporkan mengalami gejala COVID-19 yang aneh dan tidak masuk akal.

Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, Dr Angelique Coetzee. Sumber: Berita Harian

Simptom yang dialami pesakit-pesakit ini adalah berbeza daripada gejala COVID-19 ‘tradisional’ di mana tiada seorang pun daripada mereka yang kehilangan deria rasa atau bau.

Pesakit ini yang tergolong daripada kalangan orang muda dilaporkan mengalami keletihan yang teruk, dengan seorang kanak-kanak berumur enam tahun dicatatkan mempunyai kadar nadi yang tinggi.

“Simptom mereka amat berbeza dan sangat ringan daripada yang pernah saya rawat sebelum ini,” kata Dr Coetzee yang mempunyai pengalaman 33 tahun sebagai pegawai perubatan.

Kebanyakan pesakit dengan varian ini asalnya ialah lelaki yang sihat akan tetapi tiba-tiba mereka ‘merasa sangat letih’. Menurut laporan, kira-kira separuh daripada mereka tidak mengambil vaksin.

Pada 18 November yang lalu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Penasihat Vaksin negara berkenaan mengenai kes empat sekeluarga yang disahkan positif COVID-19 yang turut mengalami keletihan yang teruk.

Lapor beliau, terdapat kira-kira 24 pesakit yang disahkan positif COVID-19 dengan simptom Omicron. Saintis Afrika berkata, punca peningkatan mendadak kes di wilayah Gauteng negara terbabit ialah kerana varian Omicron ini.

Varian Omicron COVID-19 mula menular ke beberapa negara

Kini, COVID-19 varian Omicron ini sudah mula menular ke luar negara membawa kepada banyak sekatan perjalanan oleh pelbagai negara. Antaranya ialah United Kingdom (UK) yang meletakkan beberapa negara Afrika selatan dalam senarai perjalanan merah.

Namun begitu, sejumlah kecil kes varian ini sudahpun dilaporkan ada di seluruh Eropah. Di UK, sudah terdapat dua kes yang disahkan varian Omicron.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca