Kelebihan Pelajar IPT Mempelajari Bahasa Mandarin

Bahasa Mandarin berasal dari Tanah Besar China, atau lebih tepat di bahagian utara China. Bahasa ini juga dikenali sebagai Simplified Chinese kerana telah mengalami evolusi daripada tulisan lama bahasa Mandarin yang diadaptasi daripada lukisan yang dikenali sebagai Pictogram.

Bahasa Mandarin adalah bahasa yang paling ramai penuturnya di seluruh dunia. Sebenarnya bahasa ini mampu memberi kelebihan kepada pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Laoshi Lee Ai Chat, seorang guru bahasa Mandarin di UiTM Puncak Perdana, bahasa Mandarin memang memberi kelebihan kepada pelajar. Kelebihan ini bukan sahaja untuk kerjaya mereka, malah kepada diri mereka sebagai nilai tambahan dalam diri.

1. Peluang pekerjaan lebih luas

Kebanyakan syarikat di Malaysia terdiri daripada kaum Cina. Sekiranya pelajar mempelajari bahasa Mandarin, skop pekerjaannya akan jadi lebih luas. Hal ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar apabila ingin melaksanakan latihan praktikal selepas pengajian.

2. Memudahkan urusan syarikat yang berurusan dengan syarikat di China

Pada era globalisasi ini, teknologi semakin pesat. Negara China adalah antara kuasa besar dunia yang mempunyai pelbagai teknologi canggih setanding Barat. Produk yang disediakan mereka juga murah berbanding produk yang diimport dari Barat. Hal ini mendorong banyak syarikat untuk mengadakan urusan perniagaan dengan syarikat di China.

Sekiranya anda fasih berbahasa Mandarin, anda akan memudahkan sesuatu urusan tersebut. Peluang untuk kenaikan pangkat juga akan jadi lebih tinggi.

3. Merapatkan lagi persahabatan bersama rakan berbangsa Cina

Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk. Cina adalah kaum ke-2 paling ramai di negara ini. Sekiranya kita mengetahui ketiga-tiga bahasa kaum utama di Malaysia, sudah tentu perpaduan dapat dicapai. Jikalau anda mempunyai rakan berbangsa Cina, persahabatan anda akan bertambah erat apabila anda mengetahui bahasa Mandarin.

4. Menambah keyakinan diri

Apabila anda menghadapi dunia yang lebih luas seperti dunia pekerjaan, anda akan bertemu dengan rakan sekerja yang berbilang bangsa. Sekiranya anda mempelajari bahasa Mandarin, kejanggalan berkomunikasi akan berkurangan ketika bercakap dengan rakan sekerja yang berbangsa Cina.

Menurut Laoshi Lee, meskipun pelajar mempunyai sedikit asas bagi bahasa Mandarin, ini akan membantu dia untuk mengurangkan rasa waswas. Sekiranya dia mendengar rakan sekerjanya yang berbangsa Cina saling bersembang, dia tidak perlu risau dengan apa yang dibicarakan kerana dia faham percakapan mereka. Hal ini dapat meningkatkan produktiviti ketika bekerja.

5. Kemungkinan untuk membeli barang yang murah di kedai pemilik Cina

Sesetengah orang ada berkata, jika bercakap bahasa Mandarin dengan ‘tauke’ kedai, anda boleh tawar-menawar dengan harga yang murah. Laoshi Lee berpendapat perkara ini berlaku atas faktor psikologi. Manusia secara lumrahnya akan berasa lebih mesra apabila orang berlainan bahasa bercakap dalam bahasa mereka.

Kesimpulannya, sekiranya berpeluang untuk belajar bahasa Mandarin, ambillah peluang tersebut sebaik mungkin. Hal ini bukan sahaja memudahkan kerjaya, malah menambah keyakinan diri untuk menghadapi dunia yang lebih luas di luar sana.

Penulis

  • Mohamad Faeez Syazwan Ahmad Zawawi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca