Kelantan Benar Solat Jumaat Mulai Hari Ini, Ketahui SOP Yang Perlu Dipatuhi

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa solat Jumaat, solat fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla di negeri Kelantan dibenarkan.

Namun begitu, pelaksanaannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu dilakukan secara terkawal bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Berikut kami kongsikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepertimana yang telah ditetapkan oleh MAIK:

1. Tempat pelaksanaan

Solat Jumaat, solat fardu serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla dalam tempoh PKPP ini adalah dibenarkan kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

2. Masa

Masjid, surau dan musalla akan dibuka satu jam sebelum waktu solat dan ditutup setelah solat disempurnakan.

3. Bilangan jemaah yang dibenarkan

Kehadiran jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar setelah diambil kira keperluan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter termasuk di anjung dan pekarangan masjid, surau serta musalla.

4. Kawalan dan keselamatan

Bagi kawalan penularan dan jangkitan, pihak jawatankuasa masjid perlu mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

Selain itu, untuk kawalan dan pengesanan jemaah yang hadir, selain aplikasi MySejahtera, borang daftar hadir boleh diwujudkan atau merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran yang mesti disimpan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, beberapa etika jemaah perlu diutamakan. Antaranya termasuklah memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, tidak bersalaman sesama yang hadir dan tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti.

Jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

5. Aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau

Berikut adalah tiga bentuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau yang boleh dilaksanakan:

Majlis ilmu:

  • Hanya kuliah Maghrib dan kuliah Subuh dibenarkan dengan syarat jemaah mematuhi penjarakan sosial
  • Kuliah Maghrib ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak
  • Tazkirah Subuh dilaksanakan selama 15 minit sahaja

Majlis akad nikah:

  • Majlis akad nikah dibenarkan dilaksanakan di masjid atau surau dengan mematuhi penjarakan sosial dengan bilangan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa

Kemudahan jemaah:

  • Ruang yang terhad dibuka di masjid, surau dan musolla untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir serta pemandu perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran

Dalam pada itu, MAIK menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal untuk mematuhi SOP tersebut. 

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan PKPP, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca