Kekasih Hati Cuba Membunuh Diri, Ini 7 Bahagian Kisah ‘Rapunzel’ Versi Grimm Brothers Yang Berbeza Dengan Disney

Penulis pasti ramai yang mengetahui kisah salah seorang puteri Disney bernama Rapunzel. Dia merupakan gadis berambut panjang yang dipenjarakan oleh seorang ahli sihir jahat di dalam sebuah menara sebelum seorang putera raja datang menyelamatkannya. Namun begitu, kisah penceritaan Rapunzel oleh Grimm Brothers mempunyai beberapa elemen yang jauh berbeza berbanding versi penceritaan Walt Disney.

Berikut merupakan tujuh bahagian kisah Rapunzel yang berbeza mengikut penceritaan oleh Grimm Brothers.

1. Ibu Rapunzel mengidam herba

Kisah asal Rapunzel bermula dengan ibu gadis itu yang mengidam hendak memakan sejenis herba di taman indah milik seorang ahli sihir. Kegilaannya terhadap herba tersebut semakin menjadi-jadi sehingga wanita itu jatuh sakit dan diambang kematian sekiranya dia tidak dapat merasa herba berkenaan.

Oleh kerana terlalu sayang, bapa Rapunzel sanggup memanjat pagar ahli sihir dan mencuri herba buat isterinya yang sedang sarat mengandung.

2. Rapunzel diberikan kepada ahli sihir

Di dalam versi penceritaan Disney, Rapunzel telah diculik oleh seorang ahli sihir ketika masih bayi ekoran rambutnya yang mempunyai kuasa sakti. Namun, sebaliknya yang berlaku di dalam versi penceritaan Grimm Brothers di mana ibu bapa Rapunzel sendiri yang memberikan anak mereka kepada ahli sihir.

Hal ini berlaku setelah ahli sihir menangkap bapa Rapunzel mencuri di kebunnya. Wanita sihir itu berjanji akan membiarkan bapa Rapunzel mengambil seberapa banyak herba dari kebunnya dengan satu syarat iaitu mereka harus memberikan Rapunzel yang baru lahir kepada ahli sihir.

Rapunzel memperoleh namanya dari bunga ungu herba rampion yang menjadi punca dia diberikan kepada ahli sihir.

3. Hubungan putera dan Rapunzel

Seperti yang diketahui, putera raja berjaya masuk ke menara yang tidak berpintu setelah Rapunzel tersalah anggap putera tersebut sebagai ahli sihir dan membenarkannya memanjat rambutnya yang panjang.

Di dalam versi penceritaan Grimm Brothers, sang putera dan Rapunzel telah berjumpa beberapa kali di dalam menara tanpa pengetahuan ahli sihir.

4. Kehamilan Rapunzel

Pertemuan demi pertemuan yang berlaku antara sang putera dan Rapunzel akhirnya telah menyebabkan gadis terbabit mengandung. Namun begitu, Rapunzel tidak menyedari hal berkenaan sehinggalah dia bertanyakan kepada ahli sihir mengapa baju-baju yang dipakainya terasa ketat.

Tidak cukup dengan itu, Rapunzel juga telah membongkarkan pertemuannya dengan sang putera setelah dia bertanya kepada ahli sihir mengapa ahli sihir lebih berat daripada sang putera yang juga memanjat ke dalam menara menggunakan rambut panjang Rapunzel.

5. Rapunzel dipaksa melahirkan anak di padang pasir

Selepas mengetahui berita kehamilan Rapunzel, ahli sihir telah menggelar Rapunzel sebagai manusia tidak bertuhan dan telah membuangnya ke sebuah padang pasir. Di kawasan tandus itulah Rapunzel telah melahirkan sepasang bayi kembar seorang diri.

6. Sang putera cuba membunuh diri

Sang putera telah kembali ke menara untuk berjumpa dengan Rapunzel tidak berapa lama kemudian. Sedang dia memanjat menggunakan rambut Rapunzel yang panjang, putera akhirnya menyedari bahawa bukan kekasih hatinya yang telah menghulurkan rambut tersebut tetapi si ahli sihir. Putera mendapat tahu bahawa ahli sihir telah memotong rambut Rapunzel sebelum membuangnya di kawasan padang pasir.

Ahli sihir yang masih lagi berang dengan perlakuan putera dan Rapunzel telah memprovokasi sang putera dengan memberitahunya bahawa Rapunzel telah mati dan putera tidak akan berjumpa dengannya lagi.

Dengan penuh rasa kecewa, sang putera telah melompat keluar daripada menara untuk membunuh dirinya. Namun begitu, putera telah mendarat di atas pohon berduri yang menjadikannya buta selama-lamanya.

7. Tangisan Rapunzel

Perkara ini mungkin agak sama dengan penceritaan Disney di mana tangisan Rapunzel telah menyembuhkan kekasih hatinya.

Setelah bertahun-tahun berjalan tanpa arah tujuan, putera yang buta akhirnya telah berjumpa semula dengan Rapunzel dan anak-anaknya. Tangisan Rapunzel yang jatuh pada muka putera telah mengembalikan pancaindera putera berkenaan.

Kisah Rapunzel oleh Grimm Brothers ini berakhir dengan perkahwinan sang putera dan Rapunzel.

Jadi, apakah pendapat anda setelah membaca kisah ini?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca