“Kekal Duduk Di Rumah Dan Amalkan Kebersihan Yang Tinggi,” – Pinta Dr. Noor Hisham Sempena Ulang Tahun Kelahirannya

“Sempena hari jadi saya iaitu pada 21 April, hadiah paling istimewa untuk saya ialah, kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi,” ungkap Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sejak wabak COVID-19 melanda dunia, kemunculan figura ini amat dinanti ramai. Setiap hari, Dr. Noor Hisham akan muncul di kaca televisyen pada jam 5 petang bagi memberi penerangan serta jawapan mengenai wabak pandemik ini.

Menjelang hari ulang tahun kelahirannya, Dr. Noor Hisham membawa khabar positif mengenai COVID-19 apabila beliau menyatakan bahawa jumlah kes positif baharu yang dicatatkan di Malaysia pada hari Isnin (semalam) adalah yang terendah sejak 12 Mac yang lalu dengan 36 kes dan tiada kematian dilaporkan. 

Beliau yang digelar wira negara menyampaikan pesanan meminta semua rakyat Malaysia untuk kekal di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai hadiah buatnya dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang telah meragut ratusan ribu nyawa di dunia.

Baru-baru ini, Dr. Noor Hisham disenaraikan antara tiga doktor terbaik di dunia dalam mengendalikan wabak COVID-19. Selain beliau, rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) turut menyenaraikan dua lagi doktor iaitu Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Menurut CGTN, sebelum ini tidak ramai yang mengenali Dr. Noor Hisham serta dua lagi tokoh berkenaan. Namun mereka kini menjadi sumber maklumat paling dipercayai bagi pandemik itu di negara masing-masing.

Menyingkap kembali kisah hidupnya, anak kelahiran Sepang, Selangor ini mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pembedahan (sugery) dan Ijazah Kedoktoran Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr. Noor Hisham telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013, selepas lima tahun memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) dari 29 Januari 2008.

Team Lejen Digital ingin mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-57. Semoga Dr. Noor Hisham dipanjangkan umur dan dipermudahkan urusan. Semoga satu dunia cepat membaik daripada wabak COVID-19 ini.

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca