Kejatuhan Mendadak Harga Sawit Boleh Menjejaskan Pengeluar Minyak Sawit

Penurunan drastik harga minyak sawit mentah (MSM) hampir 30 peratus bulan ini dijangka menjejaskan perniagaan pengeluar sawit.

Penganalisis Maybank IB, Ong Chee Ting, berkata pengeluar akan terjejas memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan risiko kemungkinan atau kegagalan membuat pembayaran dalam kalangan pembeli yang mahu menangguhkan penghantaran minyak sawit, memandangkan mereka telah mengunci harga yang tinggi lebih awal.

Namun demikian, katanya, secara positif, purata harga jualan (ASP) bagi MSM pada masa ini masih lagi melebihi purata kos operasi pengeluaran industri.

“Purata kos operasi pengeluaran industri untuk tahun kewangan 2022 dianggarkan pada paras kurang RM2,500 satu tan.

“Namun, situasi di Indonesia membimbangkan (walaupun sementara) memandangkan ASP bersih domestik MSM disebut harga pada 8,000 rupiah sekilogram atau RM2,374 satu tan pada 24 Jun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ini berikutan harga MSM menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun lalu iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun 2022 atau penurunan sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh hanya kira-kira dua minggu.

Selain itu, harga hadapan MSM satu bulan susut 16 peratus dari minggu ke minggu kepada RM4,798 satu tan pada Jumaat lalu, atau penurunan 27 peratus bagi bulan ini setakat 24 Jun 2022, yang mana ia menghapuskan hampir keseluruhan peningkatan bagi tahun ini.

Harga hadapan MSM satu bulan juga menyusut 41 peratus sejak mencecah paras tertinggi RM8,163 satu tan pada 1 Mac 2022.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca