Kejam! Semua Arnab Peliharaan Guru Ini Dijumpai Mati Dengan Telinga Dipotong

Tidak berperikemasuniaan, itulah ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan perbuatan kejam makhluk bernama manusia ini. Sembilan ekor arnab dan seekor ayam serama telah ditemukan dalam keadaan yang begitu menyayat hati di mana kesemua haiwan tidak berdosa ini mati akibat diracun.

Ternakan itu dipelihara di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Permata Court 2, Puchong Utama, Selangor. Ia bertujuan untuk pembelajaran di samping dapat menarik perhatian kanak-kanak.

Foto serta video bangkai ternakan tersebut yang bergelimpangan dengan mulut berdarah tular di laman Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-rata sedih melihat haiwan comel itu diperlakukan sedemikian.

Menurut Norashikin Mohd Kassim yang merupakan guru TABIKA tersebut, dia sangat kesal dengan apa yang terjadi dan tidak sangka ada juga pihak yang tergamak bertindak kejam terhadap haiwan yang tidak bersalah itu.

Kesemua haiwan itu dibela sejak 2017 dan ditempatkan di dalam sangkar. Kematian haiwan tersebut cuma disedari pembantu TABIKA iaitu Rozana Kamaruddin pada kira-kira jam 7.40 pagi Khamis sewaktu hendak memberi ternakan itu makan.

Sebaik sahaja melihat semua ternakan mati, Rozana menjerit memanggil Norashikin yang ketika itu berada di dalam kelas bersama murid-murid.

Terkejut dengan jeritan itu, Norashikin bergegas keluar untuk menyaksikan apa yang berlaku. Luluh hatinya apabila melihat keadaan haiwan-haiwan itu yang bergelimpangan dengan mulut berdarah di luar dan di dalam sangkar. Tiada seekor pun yang terselamat. Pada masa yang sama, terdapat kesan umpil di pintu sangkar tersebut.

Lebih menyedihkan, seekor lagi arnab gagal dikesan dan mereka cuma menemui cebisan telinga dan tangannya sahaja.

Luah Norashikin, hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaannya ketika itu. Mereka berdua bertindak mengambil gambar dan video bangkai haiwan malang itu sebelum membersihkannya untuk dijadikan bukti. Setelah semuanya selesai, mereka membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong.

Menurut ibu dua anak itu, dia tidak mengesyaki mana-mana pihak yang tergamak melakukan perbuatan itu dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Meskipun TABIKA itu beroperasi di kawasan perumahan, mereka belum pernah menerima apa-apa aduan daripada penduduk mengenai haiwan itu memandangkan sangkarnya berada di dalam kawasan TABIKA.

“Tidak tahu pula jika ada yang tidak senang, namun ia bukan alasan untuk bertindak kejam sebegini hingga membunuh,” katanya yang memberitahu memuat naik gambar dan video itu di media sosial untuk berkongsi kesedihannya.

Artikel Lain Untuk Di Baca