Keistimewaan Bulan Zulhijjah Yang Ramai Tidak Ambil Tahu

Sedar ataupun tidak, kita telah pun memasuki bulan terakhir dalam kalendar Islam – bulan Zulhijjah. Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari ini, mari kita terokai peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku dalam bulan ini.

 

1. Penyembelihan Nabi Ismail A.S 

Nabi Ibrahim AS yang mendapat gelaran Rasul Ulul Azmi sekali lagi membuktikan kepatuhannya terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail AS. Ismail AS juga dengan penuh ketaatan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya tanpa sebarang bantahan. Lambang kepatuhan dua beranak ini telah diabadikan menjadi syiar Islam (sembelihan).

 

2. Baitul Aqabah

Pada tahun ketiga belas selepas perlantikan Baginda SAW menjadi nabi, berlakulah peristiwa Baitul Aqabah (perjanjian setia Aqabah). Perjanjian ini disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. Mereka telah berjanji akan terus setia mempertahankan dan membantu untuk menyebarkan ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk Yatsrib (Madinah). Baitul Aqabah sebenarnya adalah pembuka kunci kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Nabi sudah menyediakan penyokong-penyokongnya terlebih dahulu di Madinah sebelum berhijrah.

 

3. Hajjatul Wida’ (Haji Selamat Tinggal)

Nabi Muhammad SAW hanya sempat mengerjakan haji sebanyak sekali sahaja seumur hidupnya. Pada tahun kesepuluh Hijrah, Nabi SAW mengerjakan ibadah haji yang dikenali dengan Hajjatul Wida’. Pada peristiwa Hajjatul Wida’ itu, baginda SAW menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbatul Wida’) yang mana amanat-amanatnya adalah tentang intipati peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.

 

4. Saidina Umar R.A meninggal dunia

Umar adalah khalifah ke dua selepas Abu Bakar RA. Beliau adalah sahabat rapat Rasulullah SAW dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar dengan gelaran Umar Al-Faruk. Pada tahun 23 Hijrah, Amir Al Mu’minin Umar bin Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi. Dengan itu, urusan kepimpinan negara bertukar kepada Saidina Uthman RA. Perlantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah telah dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis mesyuarat Syura yang telah ditubuhkan oleh Umar bin Al Khattab sebelum kematiannya.

 

5. Saidina Ali R.A menjadi khalifah yang keempat

Setelah tercetusnya kontroversi tentang pembunuhan Uthman RA, urusan kepimpinan kerajaan diterajui pula oleh Saidina Ali RA. Perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan dibuat pada tahun 35 Hijrah. Tetapi akhirnya Saidina Ali juga dibunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Jadi agaknya adakah amal ibadah kita semakin bertambah? Mudah-mudahan semakin bertambah dan diterima oleh Allah. Justeru, marilah kita sama-sama meningkatkan kualiti ibadah kita pada bulan Zulhijjah yang penuh berkat ini. Berikut dikongsikan beberapa perkara istimewa yang terdapat dalam bulan Zulhijjah:

 

1. Puasa Sunat

Pada 1 hingga 9 Zulhijjah, umat Islam digalakkan berpuasa. Rasulullah SAW bersabda;

“Berpuasa pada hari Arafah, dapat menebus dosa-dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” – (Hadis Riwayat Muslim)

 

2. Hari Arafah (9 Zulhijjah)

Hari Arafah merujuk kepada kemuncaknya ibadah haji iaitu wukuf di Padang Arafah. Ia dilakukan kerana diyakini menjadi tempat pertemuan semula antara Nabi Adam a.s dan isterinya, Hawa setelah diturunkan dari syurga. Setelah memohon keampunan serta taubat, Allah SWT menerima taubat dan dosa mereka lalu mereka diampunkan di Padang Arafah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan nabi-nabi sebelumku adalah, Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sebarang syirik (sekutu) bagi-Nya, bagi-Nya segala penguasaan dan pujian, Dialah yang berkuasa bagi setiap sesuatu’.” – (Hadis Riwayat Tirmizi)

 

Foto: Dream.Co.Id

 

3. Ibadah Haji

Ibadah haji merupakan pelengkap dalam rukun Islam selepas ucapan syahadah, solat fardhu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan zakat. Ibadah haji ini dilakukan bagi mereka yang berkemampuan.Selain bertujuan untuk mencapai keredhaan Allah, ibadah ini juga menuntut keikhlasan, pengorbanan serta kesatuan dalam melaksanakannya.

 

4. Hari Raya Aidiladha dan Ibadah Korban

Hari Raya Aidiladha merupakan perayaan kedua terbesar bagi umat Islam selepas Hari Raya Aidilfitiri. Ia disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi memperingati akan peristiwa sejarah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim yang hendak menyembelih anaknya sendiri atas sebab perintah Allah SWT yang diperolehinya melalui mimpi. Akan tetapi, ia ditukar ganti dengan binatang kibas pada akhirnya.

Ibadah korban pada bulan Zulhijjah perlu dilakukan setelah selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Ia adalah sunnah muakkad iaitu sunnah yang digalakkan. Adapun, jika sembelihan dilakukan setelah waktu ini ia tidak dianggap sembelihan korban, melainkan hanya sedekah semata-mata.

Adapun, bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji dalam bulan Zulhijjah, kita digalakkan untuk menghidupkan malam 10 Zulhijjah itu dengan bacaan Al-Quran, qiamullail, berzikir (takbir, tahmid dan tahlil) dan amal-amal yang lain.

Umat Islam sama ada yang berada di Makkah ataupun di mana-mana disunatkan untuk berkorban menyembelih unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Foto: Pangsapuri Rista Villa

 

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita untuk terus beribadah dan semoga kita semua berada dalam keredhaan Allah.

 

Sumber: Tazkirah.net

Artikel Lain Untuk Di Baca