Keindahan Australia Barat, Ini 5 Landskap Semula Jadi Di Golden Outback Yang Perlu Anda Lawati

Atas faktor tarikan keindahan alam semula jadi, kini Australia telah menjadi sebuah negara besar yang terkenal. Golden Outback di Australia Barat merupakan salah satu destinasi wajib yang anda harus lawati.

Sejuk mata memandang apabila anda melihat sajian keindahan panorama yang mempersonakan. Dari segi tempat penginapan yang selesa lagi menyamankan, pesisiran pantai yang cantik, dan tarikan utama di tempat ini ialah keindahan landskap bunga liarnya.

‘Jauh perjalanan, luas pengalaman’ merupakan peribahasa yang sesuai buat anda yang suka melancong.

Gambar hanya sekadar hiasan

Terokailah pengembaraan ke Golden Outback, Australia jika anda ada masa untuk menenangkan fikiran disebabkan masalah di tempat kerja atau sebagainya. Untuk pengetahuan anda, tempoh perjalanan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia hanya memakan masa lebih kurang lima jam.

Berikut adalah antara keajaiban ciptaan semula jadi yang akan membuatkan anda teruja untuk berkunjung ke Golden Outback, Australia.

1. Wave Rock

Selain struktur ombak air di laut, di Australia juga kita boleh melihat keindahan struktur ombak berbentuk batu atau dinding iaitu Wave Rock. Perjalanan dari Perth untuk sampai ke tempat ini hanya memakan masa selama empat jam.

Sepanjang perjalanan juga, anda akan disajikan dengan pemandangan landskap menghijau nan indah. Struktur Wave Rock ini adalah setinggi 15 meter dan untuk membentuk struktur setinggi sebegitu, ianya perlu mengambil masa yang lama iaitu 2,700 juta tahun.

Wave Rock juga merupakan tebing granit sepanjang 110 meter dan ianya kelihatan seperti gulungan ombak besar yang melengkung. Tempat ini juga amat sesuai untuk bergambar dramatik bagaikan anda berada di syurga dunia. Tempat ini sangat popular dan sering menjadi kawasan pelancongan.

2. Lucky Bay

Lucky Bay umpama permata antara jalur pantai berpasir putih nan indah yang terletak di Taman Negara Cape Le Grand. Air membiru lautnya sungguh mendamaikan pemandangan sekali gus dapat merehatkan keletihan mata anda.

Sekiranya bernasib baik, haiwan liar seperti kanggaru akan keluar berlegar-legar dan bermain di kawasan itu. Selain panoramanya yang indah, Kawasan ini juga terkenal dengan keenakan aneka makanannya di restoran Lucky Bean Café. Jangan lepaskan peluang untuk melawati kawasan ini.

3. Tasik Hillier

Selepas menjelajah ke Lucky Bay, hanya perlu mengambil masa sedikit untuk sampai ke sebuah tasik yang dinamakan tasik Hillier. Sebuah tasik yang kaya dengan keunikan kerana air di tasik ini berwarna merah jambu. Panorama Tasik Hillier ini digelar sebagai Bubblegum-pink dan ianya dipisahkan dengan jalur hijau flora serta jalur putih pasir yang tipis.

Tasik ini terletak di lokasi terpencil dan jaraknya sejauh 11 kilometer dari pantai Taman Negara Cape Arid. Kapal terbang kecil atau bot merupakan kenderaan yang boleh diakses untuk sampai ke sini.

4. Taman Negara Fitzgerald

Taman Negara Fitzgerald merupakan salah satu taman landskap botani yang ditumbuhi dan dipenuhi dengan tanaman berbunga. Kepada pencinta alam sekitar, anda disarankan untuk melawati ke tempat ini.  

Tempat ini merupakan sebuah taman kebangsaan tunggal dan terbesar di Australia Barat.

Kira-kira 1,800 spesies tumbuhan berbunga tumbuh subur di sini seperti Royal Hakea, Qualup Bell, Sepulcralis, Weeping Gum, Pincushion Hakea, Woolly Banksia dan Bottlerush.

5. Tasik Ballard

Bagi yang peminat seni arca, tempat ini amat sesuai untuk anda menyaksikan rekaan patung hasil air tangan seorang artis yang juga pemenang hadiah Turner, iaitu Antony Gormley. Perjalanan dari Taman Negara Fritzgerald untuk sampai ke sini ialah 10 jam.

Sebanyak 51 buah variasi arca berbentuk patung logam diletakkan di sepanjang Shimmering Salt Lake. Sebuah landskap yang menyajikan pameran menakjubkan. Kesemua arca ini mempunyai rekaan yang berbeza dari segi bentuk dan rupa.

Adakah anda teruja untuk melancong ke Australia? Disarankan untuk bercuti ke Australia Barat pada musim sejuk antara bulan Mei hingga Oktober. Permukaan tasiknya yang lebih solid menjanjikan lokasi lebih mudah untuk diterokai.

Maklumat lanjut mengenai Australia Barat, anda boleh lawati laman web rasmi mereka dan Facebook.

Penulis:

  • Khairul Anwar Bin Mat Rozi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), (UiTM).
  • Prof Madya Dr Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), (UiTM).

Untuk membaca artikel lain berkaitan kawasan pelancongan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca