Kehilangan Remaja Ireland Di Nilai Jadi Tanda Tanya, Polis Lancarkan Pencarian

Usaha mengesan seorang remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang dari resort di Seremban pada Ahad lalu sedang giat dilakukan oleh pihak polis daerah Nilai.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, laporan mengenai kehilangan Nora Anne Quoirin yang berusia 15 tahun daripada pemilik resort tersebut diterima kira-kira jam 1.30 petang Ahad.

Anggota bomba dan polis dari unit anjing pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Negeri Sembilan terlibat dalam misi pencarian mangsa.

“Kami menerima laporan polis daripada pemilik hotel yang didiami Nora pada jam 1.30 petang.”

“Kami telah mengerahkan tiga anggota polis, 10 anggota bomba dan tiga anggota polis bersama anjing pengesan dari K9 dan sedang menjejaki gadis ini,” kata Marzukee seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Buat masa ini, mangsa masih belum dijumpai dan gerakan bagi mencari mangsa diteruskan.

Tambahnya lagi, kes ini turut dimaklumkan kepada semua KPD dan elemen polis Negeri Sembilan bagi membantu mengesan dan mencari mangsa.

Menurut laporan BBC, Nora sebelum ini mengalami masalah pembelajaran dan apa yang berlaku ini bukanlah suatu kebiasaan. Dia tidak akan menghilangkan diri begitu sahaja.

Nora dipercayai datang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga. Mereka tiba di sini pada Sabtu lalu dan menginap di Resort The Dusun Pantai Hill.

Menurut keluarga mangsa, anak mereka itu sudah tiada di bilik penginapan sekitar jam 8 pagi pada Ahad.

Artikel Lain Untuk Di Baca