Sultan Pahang ke-5, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar mangkat kira-kira jam 9 pagi tadi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Almarhum baginda menghembuskan nafas terakhir pada usia 89 tahun.

Berita sedih ini dikongsi cucunda baginda, Tengku Puteri Iman Afzan menerusi laman Instagram miliknya sebentar tadi.

Portal berita myMetro melaporkan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan rasminya memohon rakyat mendoakan roh Almarhum baginda ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.”

Kenderaan yang membawa jenazah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah beredar dari Institut Jantung Negara (IJN) ke Istana Negara.

Difahamkan, sebelum dibawa pulang ke Pekan, jenazah Almarhum baginda akan dibawa ke Istana Negara untuk dimandikan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry