Kehilangan Berakhir Dengan Kematian, Penduduk Zahir Rasa Sedih Terhadap Nasib Yang Menimpa Nora Anne

Penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin pada hari ke-10 kehilangannya menggemparkan seluruh Malaysia. Penduduk di sekitar kawasan resort di Pantai, Seremban menzahirkan rasa simpati, hiba dan terkejut susulan penemuan itu.

Rata-rata penduduk di kawasan berkenaan seakan tidak percaya dengan nasib yang menimpa remaja yang berusia 15 tahun itu selain menyifatkannya sebagai satu peristiwa ‘hitam’ buat kampung tersebut.

Menurut salah seorang penduduk iaitu Mohamad Afendi Azhar, kejadian sebegini yang membabitkan kes kehilangan berakhir dengan kematian merupakan peristiwa pertama di kawasan itu.

Tambahnya lagi, dia bersama dengan penduduk kampung berusaha sedaya upaya untuk menjejaki remaja itu pada hari kedua setelah dia dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu, namun usaha itu menemui jalan buntu.

“Secara peribadi saya amat simpati dengan keluarganya ,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Malik mengakui tidak terkata apa-apa setelah mendapat berita tentang penemuan mayat itu kira-kira 2.5 kilometer dari resort Nora Anne dilaporkan hilang.

“Tak sangka akan jumpa dalam keadaan macam ini (tidak bernyawa). Memang simpati dengan keluarga mangsa. Walaupun jumpa dalam keadaan sudah tidak bernyawa tetapi sekurang-kurangnya tanda tanya selama ini (kehilangan Nora Anne) terungkai,” katanya.

Ujarnya lagi, kebanyakan kes yang berlaku di kawasan itu selalunya cuma melibatkan kejadian orang sesat dan akan dijumpai dalam keadaan selamat dalam masa singkat.

Mohd Raffiq Ismail yang sebelum ini pernah mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi penemuan mayat itu pula mengatakan bahawa dia sangat terkilan kerana gagal menemui Nora Anne meskipun pernah mencarinya di kawasan yang sama.

Untuk rekod, Nora datang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga selama dua minggu. Mereka tiba di sini pada 3 Ogos lalu dan menginap di Resort The Dusun Pantai Hill. Menurut keluarga mangsa, anak mereka itu sudah tiada di bilik penginapan sekitar jam 8 pagi pada Ahad sebelum operasi pencarian dilancarkan. Mayatnya ditemui kira-kira jam 1.57 tengah hari Selasa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca