Jika sebelum ini kecoh pelanggan terpaksa membayar RM1,196.80 untuk seekor siakap dengan berat tujuh kilogram ketika bercuti di Langkawi, timbul lagi isu yang hampir sama apabila seorang pelanggan berbeza berkongsi pengalamannya menikmati nasi kandar dengan dua ekor sotong goreng pada harga RM100.
Insiden itu dipercayai berlaku di sebuah restoran nasi kandar terkenal yang terletak di Pulau Pinang. Menerusi hantaran di Facebook, lelaki itu mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sekiranya mahu menikmati nasi kandar di Pulau Pinang kerana baginya terlalu mahal.
Beliau turut memuat naik resit bersama hantaran berkenaan yang memaparkan harga bagi dua ekor sotong goreng berharga RM100 manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).

Penjelasan wakil restoran
Selepas hantaran itu tular, pengarah restoran berkenaan yang dikenali sebagai Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim tampil memberi penjelasan dengan menyatakan harga semua makanan di restoran itu telah disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150.
Memetik laporan Utusan Digital, Riyaaz menjelaskan pelanggan berkenaan tidak bertanya dahulu harga sotong sebelum membayar makanan tersebut.
“Saya yang mengambil pesanan individu ini dan pasangannya di mana mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang bersama-sama dengan nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan timun.
Sotong goreng apollo ini tidak murah. Kami sendiri membelinya pada harga RM35 sehingga lebih RM40 untuk satu kilogram malah harga sotong itu di pasaran sentiasa berubah-ubah.
Apabila pelanggan ini menempah hidangan sotong tersebut, mereka tidak bertanya tentang harganya. Pelanggan wanita tersebut dengan jelas melihat saya memasukkan jumlah harga sotong ke sistem pembayaran dan dia tidak mengadu apa-apa ketika itu.
Saya tidak sangka mereka bertindak menyiarkan salinan resit ini ke media sosial dan saya anggap mereka sengaja mahu tularkan resit ini,” ujarnya.
Wakil restoran itu turut menjelaskan sotong goreng yang dibungkus untuk pasangan berkenaan bersaiz besar di mana harganya antara RM110 dan RM120 untuk dua orang tetapi beliau telah memberikan diskaun kepada pelanggan terbabit.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan ini bukan kali pertama restoran berkenaan tular kerana harga makanan yang dijual di situ. Bagi pihaknya, semua harga telah dipamerkan dengan jelas di papan tanda harga.
Penjelasan terbaharu pemilik resit

Dalam pada itu, Riyaaz mendakwa pemilik resit asal resit hidangan dua ekor sotong goreng bernilai RM100 mohon maaf kepada mereka menerusi mesej di aplikasi WhatsApp semalam.
Pelanggan itu mendakwa ada pihak lain menyunting gambar yang dimuat naiknya di Instagram dengan kapsyen tertentu. Riyaaz menerima permohonan maaf pelanggan tersebut memandangkan individu itu tidak berniat untuk menjatuhkan reputasi restorannya.
Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: