Kecewa Bekas Teman Wanita Ada Kekasih Baharu, Lelaki Ini Nekad Bakar Diri Sendiri

Gara-gara dipercayai kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baharu, seorang lelaki di Kangar, Perlis dilaporkan telah bertindak untuk mencederakan diri sendiri dengan membakar diri dalam kereta.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kangar iaitu Superintendan Wari Kiew berkata pihak polis telah menerima panggilan daripada seorang pekerja kilang papan pada 8.49 malam semalam yang memaklumkan terdapat kereta terbakar dan seorang lelaki di dalam kenderaan berkenaan.

“Seorang orang awam memberhentikan kereta di belakang kereta yang sedang terbakar. Beliau ternampak seorang lelaki dalam keadaan terbakar pada badan berjalan ke arah keretanya.

Saksi keluar dari kereta dan menenangkan lelaki serta memadamkan kebakaran pada badan mangsa sebelum beliau menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Sumber: Facebook Bomba Perlis

Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran pada kereta mangsa dan lelaki itu dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Bapa mangsa turut memaklumkan anak lelakinya yang berusia 28 tahun itu merupakan seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri HTF.

“Mangsa dipercayai cuba mengambil nyawanya sendiri kerana kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baharu,” katanya.

Menurut Wari lagi, bapa mangsa turut memaklumkan kepada polis bahawa anaknya meminum petrol pada 8.45 malam sebelum keluar rumah menaiki keretanya.

Bapa mangsa yang berasa curiga membuat laporan di Balai Polis Kangar kerana percaya anaknya cuba menamatkan riwayatnya sendiri sekali lagi.

“Apabila sampai di balai polis, pihak polis memaklumkan bahawa mereka telah menemui sebuah kereta dalam keadaan terbakar di atas jambatan Kampung Syed Omar, Kangar.

Bapa mangsa kemudian pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan kereta yang terbakar adalah milik mangsa,” katanya.

Mangsa masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas melecur 96 peratus pada badannya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

https://iamlejen.com/kecewa-cintanya-ditolak-lelaki-gelandangan-bakar-kereta-milik-wanita/\
Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca