Kebenaran Operasi Sektor Pelancongan Domestik Dapat Bantu Pulih Ekonomi Negara

Kebenaran terhadap sektor pelancongan domestik untuk beroperasi mulai Rabu ini tepat pada masanya dalam membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

Datuk Seri Nancy Shukri

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan iaitu Datuk Seri Nancy Shukri, dalam kenyataannya berkata, pengumuman itu seiring dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas antara negeri.

“Langkah ini amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi. Ini kerana sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan subsektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong.

“Namun, pada masa sama, aktiviti ini perlu dijalankan dengan rasa tanggungjawab dan mengamalkan kebiasaan baharu serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menerusi perutusan khas Perdana Menteri semalam, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik namun pintu sempadan negara masih lagi ditutup semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Menyambut baik keputusan itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) iaitu Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ia dapat meningkatkan permintaan pengguna terutamanya sektor pengangkutan dan makanan sekali gus membantu pengusaha industri kecil dan sederhana yang sebelum ini terjejas akibat kesan penularan COVID-19 untuk menjana pendapatan.

Ketua Pegawai Ekesekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) iaitu Zainudin Kadir berkata, kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri dalam tempoh PKPP memberi sinar bagi pengusaha industri pelancongan yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, pengusaha industri pelancongan di Pulau Langkawi sudah bersedia untuk menerima kemasukan pengunjung dengan pematuhan SOP PKPP akan diutamakan.

“Pengusaha pelancongan amat gembira terhadap pengumuman tadi, perkara ini memberi sinar untuk industri pelancongan kembali bergerak dengan jayanya, tambahan pula ketika ini hampir semua hotel di Langkawi telah menyediakan pakej menarik kepada pelancong,” ujarnya.

Presiden Persatuan Bas Pelancong Kuala Lumpur dan Selangor (Baspel) iaitu Noraizam Abdul Kadir pula berkata, pelaksanaan SOP yang sangat ketat perlu dilakukan untuk meraih kembali kepercayaan masyarakat untuk melancong khususnya menggunakan kenderaan yang memuatkan jumlah bilangan orang yang ramai.

“Untuk permulaan ini, saranan kita pada operator ialah mereka mungkin boleh meletakkan had kuota muatan bas sebagai langkah untuk memberi jarak selamat kepada pelancong di samping masing-masing menjaga kebersihan sepanjang menggunakan kenderaan,” tegasnya.

Diharapkan semua pihak dapat mematuhi SOP yang telah ditetap terhadap sektor pelancongan. Semoga dengan kembali beroperasinya sektor ini mampu untuk menjana pendapatan pemain industri pelancongan yang terjejas sebelum ini dan sekali gus dapat menstabil ekonomi negara.

Untuk baca artikel lain berkenaan pelancongan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca