Satu kebakaran telah berlaku di Flat Sri Johor, Cheras pada pukul sembilan malam semalam. Kebakaran tersebut telah memusnahkan lapan unit kediaman di tingkat lima bangunan tersebut.
Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kebakaran itu didakwa bermula di bahagian tengah blok sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
“Setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian membabitkan kemalangan jiwa. Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas,” lapornya kepada pemberita.

Seorang mangsa kebakaran, Thialai Mary, 37 meluahkan rasa kesal apabila tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan kemas dan wang simpanan sebanyak RM40,000 daripada dibakar api.
“Ketika kejadian pada jam 9 malam, saya berada di tempat kerja dekat hospital berdekatan. Saya menerima panggilan daripada kakak sebelum bergegas pulang.
“Ada tujuh orang tinggal dalam kediaman itu dan semuanya tidak cedera. Namun, apabila sudah jadi macam ini (kebakaran), saya rasa menyesal kerana menyimpan wang tunai di rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, seramai 35 anggota menaiki 11 jentera dikerahkan ke lokasi kejadian apabila menerima panggilan kecemasan pada jam 9.17 malam.

“Setibanya di lokasi, kita mendapati semua unit kediaman itu musnah 100 peratus. Operasi pemadaman kebakaran menggunakan teknik dan jentera khas.
“Kerja baik pulih sedang dijalankan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: