KDYMM Pemangku Raja Pahang Dukacita Dengan Kejadian Buli Yang Berlaku Di Sekolah

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sekolah di negeri itu baru-baru ini.

Baginda bertitah kejadian buli yang didakwa berlaku di Rompin, Maran dan Lipis itu tidak seharusnya berlaku sama sekali serta menitahkan agar pihak terlibat khususnya Jabatan Pendidikan Pahang mengambil langkah segera untuk memastikan persekitaran di sekolah selamat.

“Ibu bapa juga perlu memberi peringatan dan nasihat tanpa jemu kepada anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti membuli selain pentadbir sekolah perlu kerap mengadakan program kesedaran, keagamaan dan pendidikan sivik untuk menerapkan nilai positif dalam diri setiap pelajar,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-62 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di Pekan.

“Keraplah turun padang untuk melihat sendiri permasalahan rakyat. Beta sendiri akan sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut tidak kira di bandar atau pedalaman.” titah baginda.

Media telah melaporkan Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan polis menerima tiga laporan antara 6 Disember dan 10 Disember lepas, daripada mangsa buli yang mendakwa dipukul pelajar senior atas pelbagai alasan sehingga mengalami lebam dan bengkak.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca