“Kau Yang Cuai!”, Tindakan Ibu Bapa Nora Anne Saman The Dusun Resort Bikin Warganet Panas

Adakah anda masih ingat dengan kes kehilangan dan kematian gadis warga Ireland iaitu Nora Anne Quoirin? Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar menjadi mimpi buruk buat remaja itu apabila dia ditemui dalam keadaan tidak bernyawa tidak jauh dari resort penginapan keluarganya iaitu The Dusun Resort.

Terbaharu, ibu bapa kepada Nora Anne dilaporkan mengambil keputusan untuk menyaman resort tersebut atas alasan kecuaian sehingga menyebabkan kematian anak gadis mereka.

Menurut laporan The Star, Sebastian Marie Philipe dan Meabh Quoirin mendakwa pengusaha resort berkenaan iaitu Helen Marion Todd gagal memastikan keselamatan premis berkenaan terutamanya daripada segi ketiadaan CCTV.

Pasangan yang diwakili peguam bernama Sankara Nair itu memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Seremban dan pengurusan pertama kes dijangka pada 21 Januari ini. Mereka dilaporkan menuntut ganti rugi khas sebanyak RM152,707.90 dan ganti rugi umum sebanyak RM30,000.

Tindakan kedua-dua ibu bapa mendiang bagaimanapun menerima kecaman hebat daripada warganet. Ramai yang berpendapat bahawa mereka tidak patut menuding jari terhadap pihak pengurusan resort terbabit memandangkan kecuaian yang membawa kepada kematian gadis malang itu datang daripada mereka sendiri.

Untuk rekod, Nora Anne datang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga selama dua minggu. Mereka tiba di sini pada 3 Ogos 2019 dan menginap di The Dusun Resort.

Menurut keluarga mangsa, anak mereka itu sudah tiada di bilik penginapan sekitar jam 8 pagi pada 4 Ogos 2019 sebelum operasi pencarian dilancarkan. Mayatnya ditemui pada hari ke-10 kehilangannya iaitu pada 13 Ogos 2019. Hasil bedah siasat mendapati bahawa punca kematian gadis berusia 15 tahun itu adalah disebabkan kebocoran usus ekoran tidak makan dalam tempoh yang lama.

Untuk baca artikel-artikel lain mengenai kisah kehilangan dan kematian Nora Anne, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca