Seorang wanita bernama Ines Ramírez Pérez atau lebih dikenali sebagai Ines bertarung nyawa apabila dia bertindak membedah perutnya sendiri untuk menyelamatkan bayi yang dikandungnya. Dalam erti kata lain, beliau melahirkan bayi tersebut dengan cara Caesarean walaupun tidak mempunyai apa-apa lulusan dalam bidang perubatan.

Beliau yang tinggal di luar bandar Mexico iaitu Rio Talea merupakan ibu kepada 7 orang anak. Ketika itu, Ines mendapati bahawa kandungannya sudah matang kerana dia mula berasa tanda-tanda ingin bersalin. Pada masa yang sama, suaminya sedang sibuk bekerja dan hanya seorang anaknya yang berusia 6 tahun ada bersamanya ketika itu.

Jarak dari rumah Inaz ke hospital adalah lebih kurang 80km dan beliau juga tidak mempunyai pengangkutan untuk pergi ke sana. Memandangkan hari mulai gelap, Inaz yang sebelum ini pernah kehilangan anaknya ketika hendak bersalin memilih untuk membedah perutnya sendiri. Tanpa membuang masa dan berfikir panjang, Inaz terus mengambil pisau dan menghiris perutnya sepanjang 15cm.

Setelah hirisan itu menembusi kulit perut, lemak dan ototnya, bayi dalam kandungannya itu ditarik keluar. Sebaik sahaja bayi itu berjaya dikeluarkan, ibu ini terus memotong tali pusat bayi berkenaan. Ines yang kehilangan banyak darah gara-gara ‘pembedahan’ yang dilakukan sendiri itu terus pengsan.

Sebaik sahaja sedar, Ines mengambil kain dan membungkus perutnya bagi mengelakkan lagi banyak darah yang keluar. Anaknya yang ada bersamanya tadi pula bertindak mencari bantuan.

Beberapa jam kemudian, pembantu kesihatan kampung pun tiba di kediaman Ines dan mendapati beliau terbaring bersama-sama bayi yang baru dilahirkan itu. Tanpa membuang masa, pembantu kesihatan tersebut bergegas menjahit luka di perut Ines menggunakan jarum dan benang biasa bagi menghentikan pendarahan buat sementara waktu.

Setelah luka tersebut dijahit, Ines segera dibawa ke hospital. Perjalanan ke hospital tersebut mengambil masa selama 8 jam walaupun ia merupakan hospital yang terdekat dengan lokasi Ines. Sebaik sahaja tiba di hospital, pembedahan terus dijalankan ke atas Ines kerana terdapat kerosakan di ususnya akibat proses Caesarean yang dilakukannya tadi.

Walaupun rasa sakit yang dialami Ines tidak dapat digambarkan, pada masa yang sama beliau sangat gembira kerana bayinya itu selamat dilahirkan. Bayi yang dilahirkan pada 5 Mac 2000 itu diberi nama Orlando Ruiz Ramirez.

Menurut doktor yang merawat Ines iaitu Dr. Honorio Galvan dan Dr. Jesus Guzman, kejadian ini merupakan sesuatu yang sangat luar biasa. Ines dipercayai menjadi satu-satunya wanita yang berjaya melakukan pembedahan secara Caesarean ke atas dirinya sendiri dan selamat. Kisah ini turut dilaporkan dalam satu jurnal iaitu International Journal of Obstetrics and Gynecology.

Pengorbanan yang dilakukan wanita ini sungguh luar biasa. Beliau sanggup bertaruh nyawa demi anak dalam kandungannya. Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar buat kita semua. Sesungguhnya, kasih sayang seorang ibu itu tidak dapat ditandingi.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda